Kehebatan Pemimpin UMNO Datang Daripada Sokongan Akar Umbi - Ahmad Zahid
JASIN - Kehebatan pemimpin UMNO bukan datang daripada
diri mereka semata-mata sebaliknya datang daripada sokongan anggota
peringkat akar umbi parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan
Presiden parti itu berkata pemimpin UMNO perlu sedar kedudukan dan
jawatan dipegang mereka hari ini adalah suatu amanah yang diberikan
anggota peringkat akar umbi parti.
"Kita (pemimpin UMNO) ada atas pentas ini kerana di bawah (anggota akar
umbi) sokong kita. Kerana yang bawah yang atas ini jadi hebat.
"Jadi bila ada di atas ini, kena tahu lah kehebatan itu bukan kerana
diri kita semata-mata tetapi kerana sokongan akar umbi kita," katanya
ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jasin di
sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas
Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Anggota Dewan
Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam dan kira-kira 1,000 anggota UMNO
Bahagian Jasin.
Ahmad Zahid berkata pemimpin UMNO perlu menjalankan amanah dalam
kedudukan dan jawatan diberikan akar umbi kepada mereka dan bukan
menjadikannya sebagai sesuatu yang memberikan pulangan lumayan dalam
pelbagai bentuk.
"Berapa lama boleh pegang jawatan. Sampai dalam kubur. Selagi pegang
jawatan kita mesti jaga kebajikan anak buah kita. Jangan kira cawangan
mana bahagian mana perwakilan mana yang sokong kita, selepas menang
pegang jawatan kita mesti adil jaga semua," katanya.
Beliau berkata dalam menjalankan amanah itu, pemimpin UMNO perlu
mengenepikan protokol bagi mendekati anggota peringkat akar umbi dan
juga rakyat secara keseluruhannya.
Katanya dengan mengenepikan protokol dalam mendekati rakyat, pemimpin
UMNO dapat menguasai minda dan hati nurani mereka seterusnya memperoleh
sokongan untuk parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita ada Tan Sri Ali (Mohd Ali) dari dulu suka turun padang, pergi
kenduri dari pagi sampai petang tengok rakyat tanpa protokol semua,
semangat begini harus ada pada pemimpin," katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi pengalamannya ketika bertugas sebagai
penolong pengurus di Bank Simpanan Nasional (BSN) sekitar tahun 70an
yang mengamalkan sikap mesra dengan semua petugas dari semua peringkat.
Namun sikapnya itu kurang disenangi pengurusnya yang beranggapan
tindakan itu melanggar protokol dan menerima teguran daripada
pengurusnya berkenaan perkara itu.
"Tetapi saya berpendapat, saya berhak berkawan dengan semua orang
menyebabkan saya bertindak untuk berhenti kerja, dalam masa sama saya
berdoa untuk keadilan kepada saya yang akhirnya 15 tahun kemudian saya
kembali sebagai Pengerusi BSN," katanya.
Beliau berkata setelah menjadi Pengerusi BSN, beliau tidak menaruh
dendam kepada bekas pengurusnya itu sebaliknya memberikan kenaikan
pangkat kerana pengurus itu bertugas dengan cemerlang malah antara
individu yang terlibat dalam proses mengkorporatkan BSN.
"Saya bukan riak atau takbur tetapi di sini ambillah pengajaran bila
berada di atas, jangan menzalimi dengan membalas dendam kepada mereka
yang pernah menzalimi kita.
"Dalam kitaran hayat politik, ada naik turunnya, kita kena ingat itu
selalu, jika kita ikhlas dan konsisten maka hak kita akan jadi hak
kita," kata Ahmad Zahid.
Beliau juga mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir kerana
tetap bersemangat untuk berucap kira-kira 50 minit menyampaikan nasihat
pada majlis itu walaupun suaranya serak dan tersekat-sekat kerana
mengalami sakit tekak.
"Saya minta maaf, suara tak berapa dengar ni.. tapi kerana sayang
dengan orang Jasin saya teruskan, saya pun dinasihatkan supaya tidak
datang kerana sakit ini tetapi nama saya Zahid Hamidi, sekali janji
mesti ditepati," katanya.
-BERNAMA