Kaji Semula Kursus Kemasukan Pelajar Agama Ke Universiti Timur Tengah - Zahid
GURUN - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan
kajian dilakukan bagi mengembalikan semula kursus khas kemasukan
pelajar aliran agama ke universiti di Timur Tengah, yang dimansuhkan
kira-kira 10 tahun lepas.
Timbalan perdana menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku menteri yang menjaga hal ehwal
agama Islam diminta mengadakan perbincangan dengan Kementerian
Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mewujudkan semula
kursus itu.
Katanya dengan adanya kursus khas itu, pelajar aliran agama di negara
ini tidak lagi perlu melalui kuliah peralihan di universiti di negara
Timur Tengah yang melibatkan kos yang tinggi.
"Pelajar daripada sekolah pondok, sekolah agama atau maahad tahfiz yang
mahu melanjutkan pelajaran di Timur Tengah khususnya di Universiti
Al-Azhar mengikuti kursus khas ini dan melalui peperiksaan yang
dikendalikan oleh universiti berkenaan.
"Dari situ, mereka terus pergi ke Universiti Al-Azhar tanpa melalui
kuliah-kuliah peralihan sebagaimana yang sedang berjalan sekarang ini di
Universiti Al-Azhar kerana sistem itu (kursus khas) telah dihapuskan
oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di sini
Jumaat.
Turut hadir ialah Jamil Khir yang juga Ketua UMNO bahagian Jerai.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau sendiri akan
mempengerusikan jawatankuasa dalam pelaksanaan kajian berkenaan sebelum
hasilnya dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.
Beliau berkata sekiranya kursus khas berkenaan diluluskan, kerajaan
seterusnya akan mengadakan rundingan dengan negara-negara terlibat bagi
mengiktiraf kursus itu, sekaligus menerima kemasukan pelajar ke
universiti di negara berkenaan.
Katanya sebuah pusat pengajian juga akan diwujudkan bagi menjalankan
kursus khas berkenaan serta mengkoordinasi peperiksaan kemasukan ke
universiti pilihan mereka.
Ahmad Zahid berkata beliau menjangkakan kursus khas berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.
Ditanya sama ada pemansuhan kursus khas berkenaan sebelum ini
menjejaskan kemasukan pelajar ke universiti di negara-negara berkenaan,
beliau berkata jumlah pelajar tidak berkurangan, namun ia sedikit
menyukarkan pelajar masuk ke universiti tersebut.
"Mereka terpaksa mengikuti kuliah tambahan untuk ikuti ujian peralihan
dan ujian ini dilakukan di negara berkenaan serta melibatkan kos yang
tinggi," katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO itu,
Ahmad Zahid mahu setiap bahagian UMNO meraikan kombinasi pemimpin baharu
dan lama bagi memperkuatkan bahagian masing-masing.
Katanya potensi kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan
datang bakal meningkat sekiranya anggota UMNO dari pelbagai peringkat
umur bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran.
-BERNAMA