Dua Lagi Negara Sumber Pengawal Keselamatan - Zahid
PUTRAJAYA - Dua buah negara lagi akan menjadi negara
sumber tenaga kerja pengawal keselamatan di Malaysia selain daripada
Nepal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata cadangan dua buah
negara sumber baharu bagi pengawal keselamatan itu akan dibentangkan
kepada Kabinet dalam tempoh terdekat.
"KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah bersetuju bahawa syarikat boleh
mengambil pengawal keselamatan dari dua negara selain Nepal.
"Namun begitu, tenaga kerja tempatan hendaklah didahulukan dan nisbah
pengambilan pekerja tempatan hendaklah dipatuhi," katanya pada majlis
pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Syarikat dan Pelanggan
Industri Kawalan Keselamatan Negara di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed
dan Masir Kujat serta Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Berhubung cadangan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan khidmat
Rela bagi mengawal keselamatan di sekolah, Ahmad Zahid berkata cadangan
tersebut ditolak.
"Jika pengawal dan anggota Rela mahu digunakan (mengawal keselamatan di
sekolah), mereka mesti diserapkan sebagai tenaga kerja (syarikat
kawalan keselamatan)," katanya.
Menurutnya, pada masa ini 800 syarikat kawalan keselamatan sahaja dibenarkan beroperasi di seluruh negara.
Beliau berkata penetapan itu dibuat bagi mengehadkan bilangan syarikat
kawalan keselamatan selain mengelak persaingan tidak sihat.
Beliau memaklumkan 47 syarikat kawalan keselamatan dibatalkan lesen
pada tahun ini ekoran tidak mematuhi syarat ditetapkan KDN, termasuk
pengawal keselamatan di syarikat tersebut tidak menjalani program
latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG).
Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan terdapat 95 syarikat kawalan keselamatan yang masih tidak menghadiri CSG.
"Mungkin syarikat-syarikat ini tidak berminat untuk memperbaharui lesen... mereka diberi masa sehingga 31 Dis ini," katanya.
Beliau menegaskan bahawa CSG diwajibkan ke atas semua pengawal
keselamatan dengan menyediakan latihan yang lebih teratur kepada mereka.
"CSG dilaksanakan bukan hanya sekadar memenuhi syarat tetapi untuk
melengkapkan pengawal keselamatan agar berada di tahap kesiapsiagaan
tinggi agar apabila sesuatu permasalah timbul, mereka mengikut Prosedur
Operasi Standard (SOP)," katanya.
Ahmad Zahid berkata KDN tidak akan berkompromi untuk membatalkan lesen
mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang dipajak atau disewakan
kepada kongsi gelap.
"KDN sedang meneliti syarikat-syarikat terbabit. Kita dapat tahu dan
sedang mencari bukti. Seperti dilaporkan media, ada syarikat di mana
pemegang saham atau pengarahnya hanya 'window dresser' sahaja, di
belakangnya kongsi gelap," katanya.
Bagi mengatasi masalah pembayaran lewat kementerian, jabatan dan agensi
kepada syarikat kawalan keselamatan, Ahmad Zahid berkata Perbendaharaan
Negara dan ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan ketua
agensi akan menyelaras agar bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari selepas
tuntutan dibuat.
"Jika mana-mana syarikat dapat bayaran lebih 30 hari, saya akan
mengarahkan dua timbalan menteri melakukan tindakan susulan... saya juga
sedia membawa perkara itu ke mesyuarat jemaah menteri untuk tindakan,"
katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani
Memorandum Persefahaman antara Persatuan Perkhidmatan Kawalan
Keselamatan Malaysia dan SIRIM Bhd untuk mewujudkan piawaian atau
standard bagi industri kawalan keselamatan di Malaysia.
-BERNAMA