Ahmad Zahid Tekankan Pentingnya Kerjasama Jitu Untuk Menangi Pulau Pinang
BALIK PULAU - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihati parti komponen Barisan Nasional
(BN) untuk mengikut rentak gerak kerja UMNO di Pulau Pinang untuk
mengambil alih negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum
ke-14 (PRU14).
UMNO sedia berkongsi ilmu dan membantu parti seperti Gerakan dan MCA
serta meningkatkan lagi kerjasama dengan semua parti komponen BN untuk
memenangi negeri itu, katanya semasa berucap merasmikan persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata apa yang penting
adalah untuk semua parti komponen BN meningkatkan lagi kerjasama bagi
memastikan kemenangan BN.
"Jentera-jentera BN dilihat hanya harapkan jentera UMNO," katanya dan
menurutnya semua parti komponen BN perlu mencontohi gerak kerja UMNO
untuk meraih kemenangan.
Beliau berkata parti komponen BN tidak harus sombong dan angkuh serta
berasa malu untuk menerima tawaran bantuan daripada UMNO kerana matlamat
BN adalah untuk menawan semula Pulau Pinang daripada pembangkang.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan jentera pilihan raya
UMNO Bahagian Balik Pulau. Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan yang
juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya,
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin
Osman dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Balik Pulau.
Ahmad Zahid berkata untuk menang dalam pilihan raya perlu kesepaduan
dan sikap setiakawan yang kukuh dan berterusan bukan sahaja dalam
kalangan pemimpin parti komponen BN, tetapi juga di peringkat akar umbi.
"Di Pulau Pinang, kita (BN) kecundang sebab tidak ada perpaduan dalam
kalangan kita...hingga sekarang demam itu tidak pernah kebah.
Rakan-rakan dalam BN bangkitlah, bangunlah, larilah bersama UMNO untuk
merampas semula Pulau Pinang," katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaannya membantu gerak kerja BN di
Pulau Pinang dan berkata beliau akan kembali semula ke negeri ini dalam
30 hari akan datang untuk mengadakan perjumpaan dengan empat peringkat
jentera semua parti komponen di negeri ini.
Beliau berkata dalam politik tiada istilah merajuk dan kecil hati sebaliknya orang politik "makin ditekan makin bersemangat".
Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin agar tidak menjadi 'pemimpin
bermusim' yang hanya turun padang pada waktu pemilihan dan pilihan raya.
Beliau menyeru rakan-rakan komponen menarik semula sokongan orang Cina
dan India kepada BN dan mendekati serta membantu mereka menangani isu
kemiskinan luar bandar.
"Tidak mustahil jika rakyat keturunan Cina dan India di Pulau Pinang
juga merasa bahawa apa yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang tidak dapat
memenuhi kemahuan mereka sebagaimana mereka jangkakan," katanya.
Dalam respons segera, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow hari
ini menggesa agar kerjasama dalam kalangan parti komponen BN di negeri
itu diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menawan semula negeri itu pada
pilihan raya umum akan datang.
Tidak dinafikan bahawa UMNO mempunyai jentera pilihan raya yang lebih
baik jika dibandingkan dengan parti komponen BN yang lain, katanya dalam
kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk
Seri Zainal Abidin Osman menggesa semua parti komponen BN supaya
bersikap terbuka menerima teguran demi kejayaan parti.
Semua rakan-rakan dalam BN perlu berlapang dada dan tenang dalam
menerima kritikan daripada kepimpinan tertinggi demi kejayaan bersama,
katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala
Batas yang dirasmikan oleh Ahmad Zahid di Kepala Batas.
Dalam pada itu, Zainal Abidin mengulangi pendirian UMNO Bahagian Kepala
Batas yang mengikrarkan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi kepada
kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak
dan Ahmad Zahid.
-BERNAMA-