Zahid Seru UMNO Selangor Contohi Kesatuan Kelip-kelip
KUALA SELANGOR - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru anggota dan pemimpin UMNO di
Selangor mencontohi kesatuan kelip-kelip sebagai dorongan untuk merampas
semula pentadbiran negeri itu daripada PKR.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun seekor
kelip-kelip kecil hanya akan kelihatan di kejauhan sahaja tetapi apabila
ratusan ribu atau jutaan kelip-kelip bersatu, ia akan mengeluarkan
cahaya sangat terang dan memancar-mancar.
"Seperti di Selangor, jika kita satukan semua anggota dan pemimpin UMNO
di seluruh negeri ini insya-Allah kita akan dapat merampas semula bumi
Selangor untuk diberikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Maka semua anggota dan pemimpin UMNO wajib bertindak seperti
kelip-kelip yang keluarkan banyak cahaya apabila bersatu," katanya
ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala
Selangor, di sini hari Ahad.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed,
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari
Ahmad Dahlan, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam
Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Haron. Ahmad
Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO turut mengingatkan
pemimpin parti di Selangor supaya tidak lupa daratan apabila sudah ada
kedudukan.
"Bila Allah beri tanggungjawab pada kita, jangan lupa pada yang pernah
beri sokongan pada kita. Bila ada peruntukan yang boleh diluluskan
jangan tolong kaum keluarga atau sahabat sahaja tetapi bantu mereka yang
memerlukan, itu tanggungjawab seorang pemimpin.
"Ubahlah minda untuk jadi pemimpin berjiwa rakyat. Tanam budaya terbaik
dari segi politik dan jauhi politik sate yang suka 'mencucuk dan
mengipas' serta politik ikan keli yang suka 'mengeruhkan keadaan dari
dalam parti'. Bila Allah beri nikmat, jangan lupa diri," katanya.
-BERNAMA-