Tidak Kompromi Soal Keselamatan, Tindakan Segera Atasi Kebolosan Sempadan - TPM
Kerajaan tidak pernah berkompromi soal keselamatan
negara dan sentiasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah
kebolosan sempadan khususnya yang melibatkan unsur dalaman.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada
antara tindakan yang dilakukan itu mengejutkan negara, namun perkara itu
perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi secara
holistik.
"Apa dilakukan kerajaan melalui pengumuman KSN (Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Dr Ali Hamsa) adalah sesuatu yang mengejutkan negara tetapi
terpaksa dilakukan... bukan disebabkan kesalahan individu yang mengetuai
(agensi berkenaan).
"Tanggungjawab yang diberikan kepada kita dilakukan bukan atas jawatan
atau individu, namun hendaklah memandang soal keselamatan dan jenayah
rentas sempadan bagi menjamin kesejahteraan dan keamanan rakyat,"
katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada jamuan Hari Raya
Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Temerloh di Dataran Lanchang baru-baru ini, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Temerloh Datuk Seri
Mohd Sharkar Shamsuddin.
Ali mengumumkan penempatan semula beberapa kedudukan di
jabatan kerajaan antaranya pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya
(Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri
Mustafar Ali sebagai Ketua Pengarah Imigresen berkuat kuasa Isnin.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata rakyat Malaysia
bertuah kerana dapat meraikan perayaan dalam keadaan yang tenang dan
selesa kerana mempunyai sebuah kerajaan yang meletakkan aspek
keselamatan sebagai tonggak utama negara.
"Kita merayakan Aidilfitri sehingga adakalanya terlajak Syawal... lebih
daripada yang ada dalam kalendar Islam. Tapi kita lihat apa yang berlaku
di negara Islam lain, ada yang tidak dapat beraya semeriah kita kerana
khuatir dengan keselamatan.
"Saya juga sentiasa ingatkan diri sendiri supaya jangan ambil mudah
aspek keselamatan kerana harganya terlalu mahal untuk dibayar," katanya.
Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga
amat prihatin dalam aspek keselamatan sehingga isu berkaitannya
dibincangkan secara mendalam di peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan
Kabinet.
Apatah lagi, Najib sendiri pernah memegang portfolio sebagai Menteri
Pertahanan menyebabkan beliau sentiasa merasakan bahawa aspek berkenaan
perlu diutamakan supaya rakyat selesa, katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan melakukan tindakan
sepatutnya bagi melindungi pintu masuk negara dan perairan negara
seperti melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan melibatkan Pasukan
Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO,
menggesa barisan parti supaya berusaha memastikan kerusi Parlimen
Temerloh kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum
akan datang.
"Kita hendaklah bekerja keras dan kemudian baharulah kita bertawakal.
Jika kita boleh merampas kembali Temerloh, lebih banyak pembangunan
dapat dilakukan termasuk di kawasan sekitarnya kerana kita mempunyai
peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat," katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga bertemu dan menyampaikan sumbangan kelengkapan haji kepada 141 jemaah haji sekitar Temerloh.
-BERNAMA