Thailand Setuju Ekstradisi 10 Warganya Dalang Kes Pemerdagangan Manusia
PUTRAJAYA - Thailand bersetuju dengan permintaan
Malaysia untuk mengekstradisi 10 warga negara itu yang dipercayai dalang
kes pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara, kata Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 10 individu yang
berumur antara 35 hingga 60 tahun itu dikenal pasti terbabit dalam kes
penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lalu.
Beliau berkata berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, individu
yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebahagiannya
sudah ditahan oleh Thailand manakala sebahagian lagi masih bebas.
"Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan
dikenakan terhadap mereka. Kita tidak mahu masyarakat antarabangsa
memandang bahawa kes itu hanya dilakukan oleh pihak Malaysia, tetapi ia
melibatkan jenayah rentas sempadan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini
selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari
Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan
Thailand, yang melakukan kunjungan hormat terhadap beliau bersempena
lawatan kerja seharinya ke Malaysia.
Ahmad Zahid berkata nama 10 individu itu telahpun diserahkan secara
rasmi kepada Thailand semasa lawatan kerja beliau ke Bangkok pada 4 dan 5
Ogos lepas.
"Saya telah menyerahkan nama-nama itu dan hari ini, pihak berkuasa
Thailand memaklumkan tindakan susulan daripada permintaan Malaysia.
Sebaik sahaja Thailand menyerahkan kepada kita, kita akan mengambil 10
individu itu.
"Namun, proses ekstradisi ini perlu menjalani beberapa proses dan aspek
perundangan serta harus dilihat kesesuaian berdasarkan International
Transfer of Prisoners," jelasnya.
Timbalan perdana menteri berkata dalam mesyuarat dua hala itu, Malaysia
turut memohon kerjasama Thailand untuk mengenal pasti rakyat mereka
yang mempunyai dwi kewarganegaraan bagi mengelak timbul masalah
berkaitan isu keselamatan.
"Malaysia turut meminta pihak berkuasa Thailand bekalkan cap jari atau
biometrik dan mengenal pasti nama yang mempunyai kerakyatan Thailand dan
Malaysia bagi mengelak timbul masalah kerumitan berkaitan isu
keselamatan," katanya.
"Dengan adanya rekod nama dan biometrik, ia akan memudahkan untuk
mengesan mereka sekiranya mereka melakukan jenayah di Thailand dan
melarikan diri ke Malaysia dengan menggunakan nama Malaysia," katanya.
Ditanya tentang hubungan antara Daesh dan pemerdagangan manusia, Ahmad
Zahid berkata: "kami tidak mempunyai bukti tetapi terdapat hubungan
ideologi Selatan Thailand dan Filipina, dengan Indonesia dan Malaysia.
Kita perlu menyiasat tentang hubungan penyeludupan dan pemerdagangan.
Kami sedang menyiasat lebih lanjut."
Ditanya sama 10 individu mempunyai dwi kewarganegaraan, timbalan
perdana menteri berkata Malaysia perlu menunggu data yang akan diberi
oleh Thailand.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau dan Prawit turut menyentuh
beberapa isu berkaitan Mesyuarat Rundingan Tahunan yang akan diadakan di
Bangkok yang dijangka membincangkan kerjasama pembekalan tenaga
elektrik dan kereta api laju.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha untuk membincangkan isu-isu
yang melibatkan pelbagai agensi dan kementerian, serta mesyuarat
jawatankuasa am sempadan antara Thailand dan Malaysia, katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat
berkenaan, Ahmad Zahid dan Prawit membincangkan perkara berhubung
kerjasama jenayah rentas sempadan, program pertukaran antarabangsa
banduan, kerjasama imigresen, deradikalisasi pengganas dan pengurusan
sempadan serta pengangkutan.
"Negara menyedari bahawa isu keselamatan tidak dapat ditangani secara
unilateral terutama melibatkan aspek jenayah rentas sempadan serta
antarabangsa dan adalah penting bagi menangani ancaman secara berkesan.
"Ia melibatkan pemantauan terhadap pergerakan manusia merentasi
sempadan selaras dengan kerjasama serantau Malaysia dan Thailand dalam
beberapa mesyuarat," katanya.
Antara mesyuarat itu ialah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai
Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN
mengenai Jenayah Rentas Sempadan.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia juga bersedia untuk menawarkan pengalaman
dan kepakaran mengenai aspek deradikalisasi pengganas kepada Thailand.
-BERNAMA