Parti Baharu Tidak Gugat Sabah Sebagai Simpanan Tetap Umno, BN - Ahmad Zahid
SANDAKAN - Penubuhan parti baharu oleh bekas
pemimpin Umno tidak akan mengugat Sabah sebagai simpanan tetap Umno dan
Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata Umno Sabah telah menunjukkan prestasi
yang baik untuk terus menjadi kubu kuat dan simpanan tetap Umno dan BN.
"Biar hujan datang, biar gelombang melanda, biar badai kencang ...
namun Umno dan BN tetapi perkasa di bumi Sabah, negeri di bawah bayu.
"Solidariti dan kesepaduan kalangan ahli Umno dan BN khususnya di
Sabah, saya yakin negeri ini terus menjadi simpanan tetap," katanya
ketika merasmikan persidangan perwakilan serentak Umno Zon Lima Sabah,
di sini Ahad.
Zon lima membabitkan Umno Bahagian Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Beluran dan Kinabatangan.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah selaku Ketua Bahagian Umno Libaran Datuk
Seri Musa Aman dan empat lagi ketua bahagian berkenaan iaitu Tan Sri
Ampung Puyun (Sandakan), Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk
Samsudin Yahya (Batu Sapi) dan Datuk James Ratib (Beluran).
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan betapa pentingnya soal
kesatupaduan dan perpaduan dalam kalangan anggota dan pemimpin Umno.
"Kalau kita bersatu-padu, biarlah apa pun datang, tokoh apa pun datang
(tidak akan tergugat), tidak perlu kutuk orang itu dan ini. Cabaran itu
mampu dihadapi asalkan kita bersama-sama, bersatu hati, fikiran dan
tindakan," katanya.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno turut
mengingatkan semua anggota dan pemimpin Umno untuk tidak mengambil mudah
soal solidariti dalam menghadapi cabaran khususnya penubuhan parti
baharu itu.
Katanya sejarah politik di negeri ini menunjukkan ketika parti Usno
memerintah, atas rasa kemarahan (pihak tertentu) maka sebuah parti
baharu wujud dan mendapat kemenangan yang banyak pada pilihan raya umum.
"Soal solidariti dalam kalangan kita penting disebabkan sejarah Sabah
telah membuktikan soal solidariti dan kesatupaduan mesti menjadi
keutamaan," katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pemimpin atasan Umno supaya
sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota akar umbi dan tidak hanya
ketika bila ada pilihan raya umum, pemilihan bahagian dan Majlis
Tertinggi.
Katanya mereka perlu rajin turun padang untuk mengambil perhatian nasib
anggota akar umbi yang merupakan pihak yang memilih mereka menjadi
pemimpin atasan.
"Jangan rasa diri hebat kerana bertahun menjadi pemimpin atasan. Jangan
sombong untuk tidak memperdulikan nasib ahli akar umbi," katanya.
Menurutnya apa yang penting semua pemimpin Umno meletakkan perjuangan parti melebihi kepentingan diri.
-BERNAMA