Malaysia Tidak Akan Leka Dengan Pencapaian NBOS - TPM Zahid
PUTRAJAYA - Strategi Lautan
Biru Kebangsaan (NBOS)Malaysia memainkan peranan penting bagi memajukan
negara ini namun keadaan itu tidak akan menjadikan kerajaan leka dengan
kejayaannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata melalui kreativiti dan inovasi hasil
daripada prinsip, kerangka kerja dan perkakasan NBOS, usaha
mentransformasikan seluruh negara kini menjadi kenyataan.
"Seluruh negara telah mendapat manfaat daripada usaha yang kami lakukan
melalui NBOS dan saya telah lihat perubahan masyarakat di setiap bandar
dan desa, hasil daripada lawatan saya ke seluruh negara.
"Saya amat berbangga dengan setiap usaha oleh semua pihak yang menjadikan usaha transformasi ini menjadi kenyataan.
"Kami telah melihat manfaatnya bekerjasama dengan cara ini, dan kami
mahu untuk memperluaskan pendekatan ini tentang bagaimana kami
melibatkan diri dengan rakan-rakan kami dan seluruh dunia," katanya
dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan
Biru (ICBOS) di sini hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa Malaysia telah mengaplikasikan prinsip,
kerangka kerja dan perkakasan NBOS di lebih 80 kementerian dan agensi
dan sektor swasta untuk hasil berimpak tinggi pada kos yang rendah dan
bagi memenuhi Wawasan 2020. (Matlamat Malaysia menjadi negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020).
Menurut beliau, dalam usaha menjadikan NBOS terus berkembang sebagai
daya penggerak utama di sebalik Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020),
lebih banyak agensi kerajaan digalakkan untuk menjalin kerjasama kreatif
bagi menangani isu-isu sosioekonomi.
Ahmad Zahid berkata kerjasama ini akan membawa mereka dalam proses
pembangunan negara selain menyokong usahawan bagi mengangkat Malaysia ke
fasa seterusnya bagi membangunkan negara.
Menyentuh mengenai peranan inovasi dalam pembinaan negara, Ahmad Zahid
menjelaskan dengan meletakkan matlamat transformasi di minda, kepimpinan
perlu datang dari peringkat atasan agar menjadikan kreativiti sebagai
satu pergerakan kebangsaan.
"Dalam dunia yang saling berhubungan hari ini, idea-idea kreativiti dan
kerjasama sentiasa menjadi satu perkara yang begitu penting. Para
pemimpin yang berjaya di Malaysia, semuanya memahami tentang keperluan
untuk melakukan sesuatu yang berbeza, bagi mencabar status quo, dan
untuk memupuk budaya inovasi," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid menyeru pemimpin muda untuk
meneruskan usaha inovasi bagi menjayakan matlamat Malaysia menjadi
sebuah negara maju.
"Ini terutamanya adalah benar bagi para pemimpin prospektif, yang akan
mengambil tampuk kepimpinan negara pada masa depan. Atas sebab ini, saya
menyeru semua pemimpin muda Malaysia yang bijak pandai agar bangun bagi
menyahut cabaran ini," katanya.
ICBOS yang bertemakan: 'Mentransformasi Negara mealui Kreativiti dan
Inovasi' diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula
Ahad lalu dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC).
Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi
menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping
menampilkan ucaptama, perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara,
penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh
dunia.
-BERNAMA