Kerajaan Teliti Keperluan Robot Dan Dron Untuk Polis - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti aset moden yang
diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam era kepolisan moden kini,
kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya itu
telah menerima cadangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar berkaitan penambahbaikan kekuatan PDRM seperti pembelian robot dan
dron.
"Kita akan meneliti semua aset yang diperlukan seperti penggunaan robot
dan dron dapat dilaksanakan. Namun ia tertakluk kepada kelulusan dan
bajet yang diberikan Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita di
sini, hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid berucap menutup Persidangan Antarabangsa
mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) yang diadakan sempena Minggu
Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi
menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping
menampilkan ucaptama, perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara,
penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh
dunia.
Semalam, sewaktu di luar acara ICBOS, Khalid berkata adalah menjadi
impian mereka agar masa depan kepolisian dapat dinaik taraf dan
ditingkatkan melalui teknologi moden seperti robot dan dron yang telah
dibangunkan negara-negara lain.
-BERNAMA