Kerajaan Batal 68 Pasport Rakyat Malaysia Sertai Daesh
KUALA SELANGOR - Kerajaan telah
membatalkan 68 pasport rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan Daesh di
negara-negara terlibat dengan militan itu, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pembatalan itu
berkuat kuasa dua minggu lalu selepas mendapat arahan daripada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
"Daripada maklumat perisikan, pasport rakyat Malaysia yang terlibat
(dengan Daesh) telah diarah untuk dibatalkan, jadi mereka tidak
mempunyai dokumen perjalanan lagi sebagai warganegara Malaysia.
"Jika mereka pulang ke negara ini, tindakan perundangan akan diambil
terhadap mereka mengikut Akta Imigresen," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, di
sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed,
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari
Ahmad Dahlan, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam
Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Haron.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO
berkata terdapat dua keluarga iaitu di Shah Alam dan Ipoh, Perak,
bertindak menjual rumah, restoran dan kereta masing-masing untuk
menyertai perjuangan militan Daesh di Syria.
"Berdasarkan risikan, kedua-dua keluarga ini tinggalkan segalanya dan
bawa anak-anak kecil ke Syria kononnya ingin berjihad untuk mencari
jalan singkat ke syurga.
"Berdasarkan laporan yang saya terima, mereka yang kononnya ingin
berjuang dengan Daesh di Iraq dan Syria berakhir dengan jadi pencuci
tandas atau penyapu sampah di jalanan sahaja ...ternyata semuanya indah
khabar dari rupa.
"Saya dapat tahu mereka menyesal dan nak balik ke Malaysia tetapi
kerajaan telah keluarkan arahan untuk batalkan pasport mereka serta
merta. Kita tidak mahu kompromi dengan mereka yang khianati negara dan
kita tidak iktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjejaki lapan butir
bom tangan yang dipercayai masih berada di tangan militan Daesh di
negara ini.
Beliau berkata, dua daripada 10 bom itu telah digunakan dalam serangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, pada Jun lepas.
"Kita nak pastikan rakyat tidak terjejas dan terganggu dengan perbuatan mereka (Daesh).
"Langkah keselamatan dan kawalan juga sedang dipertingkatkan," katanya.
Tambah Ahmad Zahid, isu membabitkan militan Daesh bukan satu pengalihan
atau sengaja diadakan untuk menakutkan rakyat kerana ia adalah ancaman
sebenar.
-BERNAMA