KDN Perkasa Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand - Ahmad Zahid
PASIR MAS - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus
memperkasa kawalan sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kelantan bagi
membanteras aktiviti penyeludupan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kini terdapat
kira-kira 10,000 anggota keselamatan ditugaskan di kawasan sempadan bagi
mengawal aktiviti pemerdagangan manusia, pembolosan senjata api dan
dadah.
"Jika dahulu hanya ada 997 anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (kini
dikenali sebagai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia) tapi sekarang ada
kira-kira 10,000 anggota.
"Saya (juga) menggerakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang
bertukar setiap sebulan sekali (bagi tujuan itu)," katanya ketika
berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi MARA
(KKTM) Pasir Mas, di sini, Jumaat.
Majlis pemimpin bersama rakyat itu yang dihadiri kira-kira 15,000
hadirin turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan
Mohamed, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr
Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk
Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Ketua
UMNO Bahagian Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yassin dan
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar
Mustapha.
Ahmad Zahid berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota tetap
AKSEM turut ditambah baik dengan melakukan pertukaran anggota setiap
tiga bulan sekali bagi mengelak mereka bersekongkol dengan penyeludup.
Beliau berkata ramai pihak yang mempertikaikan tahap keselamatan di
sempadan negara tanpa mengetahui hakikat sebenar kesukaran yang dihadapi
oleh kerajaan dalam melaksanakan tugas tersebut.
"Sempadan kita sepanjang 776 kilometer. Ada yang kata kenapa tak buat
tembok ataupun pagar, tapi masalahnya penyeludup potong (pagar),"
katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk di sempadan agar
mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding warga asing sebagai
salah satu langkah mencegah aktiviti penyeludupan daripada berleluasa.
"Kalau kita rasa ini bumi kita, maka ia (pengambilan pekerja tempatan)
kena jadi keutamaan kepada kita. Sebarang kerja perlu diberikan kepada
orang kita sendiri dan kita di sempadan jangan bersekongkol dengan
penyeludup," katanya.
-BERNAMA