Jangan Perkecil Pertukaran Maklumat Ancaman Keselamatan - Ahmad Zahid
BAGAN DATOH - Semua pihak sama ada pemimpin parti
politik atau orang awam diingatkan supaya tidak memperkecilkan
pertukaran maklumat khususnya berkaitan ancaman terhadap keselamatan
negara antara Malaysia dengan negara lain.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika
menegaskan perkara itu berkata pertukaran maklumat penting demi
keselamatan rakyat, kerana ancaman pengganas ketika ini kemungkinan
boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Soalnya bukan 'jika' tapi 'bila ia akan berlaku', jangan fikir ini isu
politik, jangan ingat kami (pihak berkuasa) cuma berikan ugutan.
"Kami berikan maklumat supaya kita siap siaga dan boleh ambil tindakan,
tidak mahu serangan seperti di sebuah pusat hiburan di Puchong,
Selangor pada 28 Julai lalu (berulang)," katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO,
Hutan Melintang di sini Sabtu.
Mesyuarat tersebut yang dihadiri 477 perwakilan dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi memastikan
usaha mengekang kegiatan serta ancaman militan Daesh daripada menular
dalam kalangan rakyat di negara ini, ia menuntut jalinan serta kerjasama
daripada parti-parti politik.
"Walaupun pembangkang, tapi sama-samalah kita tangani permasalahan
Daesh ini, ketepikan kepentingan politik dan sama-sama mengatasi
pengaruh Daesh menerusi media sosial," katanya.
Ditanya mengenai enam rakyat Indonesia ditangkap di Pulau Batam kerana
merancang serangan terhadap Singapura, Ahmad Zahid berkata ketika ini
terdapat lebih 300 pengikut Abu Bakar Bashir berada di pulau itu.
"Beliau (Abu Bakar) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan telah
berakhir dan bebas, sebab itu mereka di Batam mahu menjadikan ia sebagai
wilayah baharu Daesh," katanya.
Timbalan perdana menteri berkata bagi memastikan semua ancaman dan
pengaruh militan tidak masuk ke negara ini, pihak keselamatan telah
menempatkan pelbagai aset dan kekuatan di kawasan berisiko.
"Kita telah kenal pasti kawasan dinamakan 'black spot'. Selain itu kita
juga akan menggunakan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui
Komunikasi untuk pemantauan menerusi media sosial," katanya.
Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid turut menyelar tindakan Pengerusi
DAP Perak Nga Kor Ming yang mahu melancarkan kempen mengumpul 10,000
tandatangan bagi menghalang Pusat Tahanan Kamunting di Taiping untuk
dijadikan pusat tahanan Daesh.
"Jabatan Penjara telah melakukan pengubahsuaian pusat tahanan itu untuk
membolehkan proses deradikalisasi (pemulihan) ke atas mereka dijalankan
supaya bila keluar mereka boleh diterima oleh rakyat dan masyarakat.
"Kita tidak mempunyai waktu dan kos untuk membina penjara baharu, jadi
kita gunakan Kem Kamunting ini. Masalah keselamatan negara tidak ada
kompromi, walaupun berbeza ia harus diterima dengan baik," tegasnya.
Timbalan perdana menteri memberi jaminan bahawa penduduk di Taiping dan
kawasan sekitar supaya tidak bimbang dengan keselamatan mereka dengan
keputusan kerajaan itu.
Sementara itu, Hishammuddin turut senada dengan Ahmad Zahid bahawa
pemimpin politik mempunyai peranan penting untuk mengekang ancaman
Daesh.
"Keperluan ini tidak kepada negara kita sahaja, malah negara besar juga terkapai-kapai untuk menangani isu Daesh ini," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan
berkata Daesh bukan sekadar ancaman kepada keselamatan, tetapi juga
terhadap demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.
"Sekarang, Malaysia yang Islamik ini sedang diancam oleh Daesh yang
ideologinya, pendekatannya, tindakannya sangat salah di sisi Islam.
"UMNO harus menjadi pembela Islam, menjadi gerakan yang menentang
sebarang unsur jahat yang cuba meroskakan Islam dan imej baiknya,"
katanya.
-BERNAMA