TPM Lancar Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Timur Di Kota Belud
KOTA BELUD - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Gerbang Internet Antarabangsa
Malaysia Timur (EM-IIG) di Kampung Rampayan Laut, di sini.
Projek dikendalikan oleh Syarikat Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd
(Xiddig) itu akan melalui empat fasa, yang mana, tiga fasa pembangunan
dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan anggaran kos sejumlah RM850
juta dalam bentuk Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Fasa keempat EM-IIG itu pula akan menyaksikan Xiddig selaku pemaju,
kerajaan negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
melebarkan kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke Sabah yang
berpusat di Kota Belud.
Berucap pada majlis pelancaran pecah tanah EM-IIG, Ahmad Zahid berkata
projek yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan
dalam pelbagai bidang itu adalah penting bagi merancakkan lagi
pertumbuhan ekonomi masa depan selain memastikan perniagaan domestik dan
antarabangsa sedia ada kekal berdaya saing.
Beliau juga berharap usaha pembangunan EM-IIG itu akan diteruskan dengan
menarik pelbagai pelaburan dari luar negara untuk menempatkan pangkalan
penyelidikan dan pembangunan mereka di situ.
"Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya agar kemajuan
serta pembangunan ini dapat dinikmati oleh rakyat secara
keseluruhannya," katanya.
Ahmad Zahid berkata hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital
antara penduduk luar bandar dan bandar bukanlah sesuatu yang mustahil
dan mampu dicapai menerusi projek seumpama itu yang dilihat berupaya
menyediakan talian jalur lebar berkelajuan tinggi.
Katanya, usaha itu juga akan menyumbang kepada peningkatan sambungan
Pusat Internet 1Malaysia bagi membolehkan penduduk luar bandar mengakses
internet sekaligus menikmati kemudahan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT).
Dengan ini, penduduk terutama mereka yang menceburkan diri dalam bidang
keusahawanan akan mendapat manfaatnya memandangkan kemudahan ICT mampu
menjadi platform melonjakkan potensi perniagaan menerusi kaedah
pemasaran produk kepada golongan sasar secara digital, katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penambahbaikan perkhidmatan jalur
lebar dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) diharap akan menjadi pelengkap kepada pembangunan penduduk selain
peluang mengubah cara hidup rakyat di negeri ini.
Beliau juga berkata usaha membangunkan kawasan luar bandar menerusi
penyediaan kemudahan prasarana asas termasuk pendidikan dan kesihatan
masih diteruskan memandangkan terdapat banyak ruang dan potensi yang
perlu diterokai demi pembangunan rakyat.
Sementara itu, mengulas mengenai EM-IIG, Pengerusi Eksekutif Xiddig
Datuk Abdul Rashid Abdul Rahim berkata sasaran fasa pertama projek itu
adalah untuk menyediakan kabel gentian optik dasar laut yang
berkeupayaan 60 terabyte dari Tapak Pendaratan Pantai Rampayan Laut.
"Pelaksanaan ini dijangka akan menyediakan satu penyelesaian terbaik
kepada semua pengguna internet berkelajuan tinggi di Sabah sekaligus
mengurangkan kebergantungan kepada gerbang internet dari Semenanjung,"
katanya.
Katanya, fasa kedua bakal menghubungkan kesemua syarikat telekomunikasi
di Sabah seterusnya meningkatkan keupayaan telekomunikasi bandwith
internet di seluruh negeri; sementara fasa ketiga disasarkan bagi
membina pangkalan data bertaraf Tier-4 pertama di rantau ini di atas
tapak seluas 9.3 hektar itu.
Pangkalan data itu dijangka menarik pelaburan dari negara-negara seperti
Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Korea dan Hong Kong, katanya.
Fasa keempat pula, kerajaan negeri dan KKMM akan melebarkan kawasan MSC
Malaysia ke Sabah yang dijangka mendorong kemunculan syarikat-syarikat
baharu berteknologi serta bertaraf dunia, katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman,
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga
Anggota Parlimen Kota Belud.
-BERNAMA