Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebar Ancaman Daesh - Zahid
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan
maklumat tidak sahih dalam media sosial mengenai ancaman militan Daesh
di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri itu berkata penyebaran maklumat tidak sahih itu
hanya menimbulkan kegusaran serta ketakutan dalam kalangan orang ramai
serta perlu dihentikan serta-merta.
Katanya, sebarang maklumat rasmi mengenai ancaman itu akan dikeluarkan
secara rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia
(PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain.
"Ia tidak perlu dijadikan sandaran untuk keselamatan rakyat dan negara.
Apa-apa maklumat yang disebarkan tanpa disahkan dengan pihak
penguatkuasaan, ia hanya menimbulkan kegusaran dan membawa masalah
ketenteraman negara," katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian dalam
temuramah lintas langsung bersama Bernama News Channel (BNC) pada majlis
sambutan rumah terbuka Aidilfitri beliau di Sri Satria, kediaman rasmi
timbalan perdana menteri, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan pihaknya
mengeluarkan amaran ancaman bom di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur
dan Selangor, yang menjadi viral di beberapa laman sosial.
Khalid dilaporkan memberitahu mesej palsu berupa amaran kepada orang
ramai terhadap beberapa lokasi pusat beli-belah The Curve dan Publika,
Bangsar, Bukit Bintang, Hartamas, serta Menara Kuala Lumpur.
Lain-lain lokasi termasuk stesen-stesen LRT, pusat beli-belah Menara
Berkembar Kuala Lumpur, Mid Valley, Pavilion serta Jalan Aloy dan
Petaling Street.
Ketika ditemui di majlis itu, Khalid sekali lagi mengingatkan kepada
semua media cetak dan portal berita dalam talian agar tidak menyiarkan
dan mempromosikan gambar-gambar memaparkan kumpulan militan Daesh
khususnya mereka yang berpakaian seragam dan membawa senjata.
"Jangan siarkan. Jangan gambarkan mereka sebagai pasukan yang hebat. Ini
juga akan membangkitkan semangat anak-anak muda kita menyertai mereka.
Jangan mengagung-agungkan mereka.
"Itu yang mereka (Daesh) nak. Mereka ini mahu kita bercakap mengenai
mereka setiap hari. Ini adalah propaganda untuk menakutkan kita semua,"
katanya, sambil memberi keyakinan bahawa rakyat Malaysia tidak perlu
risau mengenai perkara ini.
Menurut Khalid, pihaknya serius dalam membanteras pengaruh dan tindakan
kumpulan militan itu di negara ini dengan banyak pegawai dan anggota
polis tidak dibenarkan bercuti bagi memastikan negara sentiasa aman
daripada sebarang ancaman.
Beliau juga berkata pihaknya juga memantau secara rapi pelajar luar
negara yang menuntut di institusi pengajian tinggi di negara ini yang
mungkin terpengaruh serta mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin, yang ditemui di majlis itu, berkata pihaknya telah mengambil
langkah pencegahan bagi memastikan warga tentera tidak terpengaruh
dengan dakyah Daesh di laman siber dan media sosial.
Justeru, katanya, pihaknya sudah lama menubuhkan sebuah pasukan petugas
khas bagi memantau dan menangani perkara itu dalam kalangan anggota
tentera.
-BERNAMA-