Madrasah Dipantau, Pastikan Tiada Aktiviti Daesh - Ahmad Zahid
Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
sentiasa memantau semua madrasah di negara ini untuk memastikan tempat
pengajian itu tidak terlibat dengan aktiviti ancaman militan Daesh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan
setakat ini pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan
Agama Islam negeri-negeri mendapati tidak ada pembabitan madrasah dengan
kegiatan militan Daesh.
"Setakat ini, kita tidak dapat sebarang maklumat mengenai pembabitan madrasah.
"Jika ada, pihak polis sudah tentu mengambil beberapa langkah dan
tindakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka
beliau di Sri Satria, kediaman rasmi timbalan perdana menteri di sini
hari ini.
Ahmad Zahid ditanya sama ada madrasah-madrasah dan sekolah-sekolah agama
di Malaysia turut dipantau sebagaimana di Indonesia bagi mengekang
penularan fahaman militan Daesh.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Indonesia turut
berkongsi dan bertukar-tukar maklumat dalam usaha membanteras ancaman
keganasan di kedua-dua negara.
"Banyak bentuk pertukaran maklumat dibuat oleh pihak Interpol dan
diberikan kepada pihak polis dan Polis Indonesia. (Maklumat berhubung)
Undang-undang anti-keganasan yang akan dibahaskan di Parlimen Indonesia
tidak lama lagi turut akan dikongsi kepada Malaysia.
"Ini bertujuan agar Malaysia dan Indonesia boleh bekerjsama untuk
membanteras sepenuhnya pengaruh keganasan di dalam negara," katanya.
Ditanya mengenai pembebasan lebih 300 pengikut pemimpin militan Islam
Abu Bakar Bashir dari penjara Indonesia tidak lama lagi, Ahmad Zahid
berkata: "Kita khuatir dan kita akan kerjasama dengan pihak Indonesia
bertukar maklumat cap jari dan biometri.
"Ini adalah kerana kita tidak mahu mereka yang dihukum kerana kegiatan
keganasan datang ke Malaysia selepas dibebaskan dan memperluaskan
pengaruh mereka."
-BERNAMA-