Lebih 25,000 Tetamu Kunjungi Rumah Terbuka TPM Di Putrajaya
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri,
Datin Seri Hamidah Kassim meraikan lebih 25,000 pengunjung pada majlis
rumah terbuka Aidilfitri di sini hari ini.
Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri itu kediaman rasminya
di Sri Satria, Presint 16, di sini, bermula 3 petang dan turut dihadiri
masyarakat pelbagai kaum, pelancong asing serta pemimpin parti dan
anggota barisan Kabinet.
Antara hadir sama untuk mengucapkan 'Selamat Aidilfitri' ialah Presiden
MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang juga menteri pengangkutan,
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam (menteri kesihatan) dan
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing.
Turut sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris
Haron.
Ahmad Zahid dan isteri, yang masing-masing memakai baju Melayu dan baju
kurung berwarna kelabu biru muda, meluangkan masa beramah mesra dan
bersalaman dengan orang ramai yang hadir ke majlis itu.
Antara juadah istimewa yang dihidangkan ialah sate, murtabak, ayam
goreng, mee goreng, nasi impit dan kuah kacang, ketupat, kuih raya dan
buah-buahan.
Majlis yang berakhir kira-kira pukul 7 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan.
-BERNAMA-