IPT Dikhuatiri Punyai Pengaruh Paling Kuat Kumpulan Pengganas
Institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai tempat yang
dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan keganasan militan,
dedah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Ini bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain,"
katanya kepada wartawan ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri
Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini, hari
Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata
kerajaan akan mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang telah
berjaya dideradikalisasi untuk membantu meningkatkan kesedaran umum
mengenai ancaman keganasan.
Katanya selain memunculkan mereka di media massa, mereka ini juga akan dibawa ke IPT untuk tujuan tersebut.
"Kami akan meminta agar mereka bersama pihak berkuasa dan muncul untuk
beri kesedaran kepada rakyat dan mereka yang mungkin terpengaruh dengan
sentimen IS (Daesh) agar tidak terlibat dalam aktiviti yang sedang
berlaku," katanya.
Ahmad Zahid berkata beberapa langkah juga sedang diambil oleh
Kementerian Dalam Negeri dan polis bagi mengelakkan insiden keganasan
seperti serangan bom di sebuah premis hiburan di Puchong pada 28 Jun
lepas, daripada berulang.
"Saya ingin menegaskan bahawa polis sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi apa jua keadaaan.
"Kita tidak akan melepaskan seorang pun tangkapan jika mereka lakukan
perbuatan yang mengancam keselamatan negara dan mengganggu ketenteraman
rakyat," katanya.
Katanya pihak berkuasa juga akan terus memantau tindakan-tindakan
berunsur keganasan terutamanya di media sosial dan sistem komunikasi
lain supaya pengaruh tersebut tidak menular luas di negara ini.
-BERNAMA-