UMNO Kesal Dengan Kempen Tun Dr Mahathir
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di Sungai Besar dan
Kuala Kangsar tidak akan terpengaruh dengan tindakan Tun Dr Mahathir
Mohamad turun berkempen menentang calon Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan Parlimen itu.
Timbalan Perdana Menteri itu percaya pengundi telah menetapkan hati dan
jiwa masing-masing terhadap BN dan tidak akan terpengaruh dengan
sebarang kenyataan bekas perdana menteri itu.
Katanya, selaku bekas presiden UMNO dan pengerusi BN, tindakan Dr
Mahathir turun berkempen bersama parti pembangkang itu amat dikesali,
namun dalam negara yang demokratik ia bukanlah suatu kesalahan.
Beliau berharap ucapan Dr Mahathir pada majlis anjuran Pakatan Harapan
di Sekinchan pagi tadi, yang telah diviralkan di media sosial, tidak
mempengaruhi sikap dan keputusan pengundi di Sungai Besar atau Kuala
Kangsar.
"Kita tahu beliau (Dr Mahathir) cuba untuk membakar kelambu dan tentunya
kita tidak mahu kelambu BN yang terbakar disebabkan oleh beliau,"
katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media PKR Sungai Besar,
di sini hari Sabtu.
Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir yang menyatakan sokongan terhadap
calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Abdul Shukur dan berkempen
untuk pembangkang bagi menentang calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa orang Melayu menyokong UMNO
secara membuta tuli, Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata
kenyataan itu tidak menggambarkan diri beliau yang dahulu.
"Mungkin beliau tersalah bacaan dalam keadaan umurnya, kita harapkan
Allah beri perlindungan kepada beliau dan kita harapkan agar tatabahasa
yang digunakan oleh beliau dahulu sama dengan tatabahasa yang digunakan
sekarang," katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata ramai yang sudah tidak dapat
menerima pendapat Dr Mahathir kerana tokoh negarawan itu kini sudah
bersama dengan musuh-musuh politiknya.
Ditanya bagaimana BN boleh menangkis tohmahan Dr Mahathir, katanya, ia tidak perlu kerana rakyat sendiri telah melakukannya.
Menjawab kepada satu soalan lain, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan
kepimpinan UMNO bersedia menimbang sekiranya Dr Mahathir berhasrat
kembali ke pangkuan parti itu.
Bagaimanapun, beliau yakin Dr Mahathir tidak mungkin akan kembali kepada UMNO pada waktu terdekat.
Mengulas mengenai suasana kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar,
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kematangan
berpolitik dapat dilihat di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh berkempen
ini.
-BERNAMA-