TPM Ahmad Zahid Lawat Pusat Media PRK Kuala Kangsar
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini
meluangkan masa beramah mesra dengan warga media di Pusat Media Pilihan
Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Beliau yang tiba pukul 4.45 petang, meluangkan masa selama setengah jam
meninjau operasi di pusat berkenaan, selain turut beramah mesra dengan
pengamal media yang membuat liputan pada PRK itu.
Seramai 122 pengamal media dari pelbagai agensi meliputi media cetak,
media sosial dan media penyiaran, terlibat dalam liputan PRK itu sejak
hari penamaan calon pada 5 Jun lepas, sehinggalah hari pengundian PRK
itu pada 18 Jun ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Presiden UMNO turut menyampaikan
sumbangan Aidilfitri kepada warga media dan warga Jabatan Penerangan
yang bertugas di pusat berkenaan.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di
Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.
Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.
-BERNAMA