Terjemahkan Sokongan Bagi Jayakan Kelangsungan Pembangunan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penduduk Kuala Kangsar perlu
menterjemahkan sokongan mereka menerusi undi kepada calon Barisan
Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bagi
meneruskan kelangsungan pembangunan di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengumumkan pelbagai
projek pembangunan di kawasan itu, dan sokongan kepada calon BN Datin
Mastura Mohd Yazid, pastinya melicinkan lagi pelbagai projek yang telah
dirancang.
"Banyak sudah kami umumkan beberapa permintaan rakyat di Kuala Kangsar,
kami nak ia diterjemah kepada undi (calon) BN (pengundian 18 Jun ini),"
katanya ketika berucap di pusat daerah mengundi di Kampung Bendang
Panjang, di sini hari Ahad.
Beliau berkata kerajaan sentiasa mendengar keluh-kesah penduduk kawasan
itu, namun mereka perlu jelas membuktikan sokongan kepada kerajaan bagi
menjayakan pelbagai program berkenaan.
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meluluskan tiga projek untuk
kemudahan penduduk Bendang Panjang iaitu pembinaan sebuah dewan serba
guna, padang futsal dan padang bola sepak.
"Dengan adanya kemudahan ini penduduk boleh melakukan pelbagai
aktiviti seperti mengadakan majlis dan lain-lain program," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan peruntukan
sebanyak RM150,000 bagi menaik taraf Masjid Sultan Abdul Jalil di
Kampung Bendang Panjang itu.
Peruntukan itu meliputi kos untuk pemasangan karpet baharu, penghawa dingin dan mengecat semula masjid, katanya.
Dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kuala
Kangsar Jumaat lepas, beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan Manong
dan pemberian status universiti kepada Kolej Universiti Islam Sultan
Azlan Shah (KUISAS).
Calon BN pada PRK itu sebelum ini menggariskan lima agenda yang beliau
akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar, antaranya menaik taraf
KUISAS dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.
Tiga lagi agendanya ialah memohon kelulusan projek membesar dan
melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala
Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan
tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.
-BERNAMA-