Proses Penamaan Calon PRK Sungai Besar Ditutup Pada 10 Pagi
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai
Besar yang diadakan di Dewan Seri Bernam di sini, ditutup pada 10 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Khairuddin Md Som mengumumkan proses
penamaan ditutup dan dijangka mengumumkan senarai calon rasmi yang
bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar selepas ini.
Tiga calon iaitu Budiman Mohd Zohdi daripada Barisan Nasional (BN); Dr
Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Amanah) telah menyerahkan
borang pencalonan masing-masing.
Terdahulu, Budiman yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Sungai Panjang, diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berarak dari Dataran
Tonggak 10, kira-kira 500 meter sebelum tiba di pusat penamaan calon
kira-kira 8.30 pagi.
Beberapa pemimpin parti turut sama mengiringi Budiman antaranya
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengarah Pilihan Raya Kecil
(PRK) Sungai Besar Tan Sri Noh Omar dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sementara itu, Dr Abdul Rani yang merupakan ADUN Meru diiringi pemimpin
parti itu termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad
dan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali tiba di pusat penamaan
sejurus sebelum proses pencalonan dibuka pada 9 pagi.
Azhar pula yang tiba di Dewan Seri Bernam pada pukul 8.45 pagi diiringi
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar
Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden
Amanah Mohamad Sabu.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah
Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah menewaskan
lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399
undi.
Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada
42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak
hadir kerana berada di luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian.
-BERNAMA-