Kes Rogol Pulau Tioman, Tiada Yang Akan Terlepas
Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya akan memastikan tiada
sebarang unsur 'cover up' dalam kes-kes jenayah yang membabitkan pegawai
kerajaan, termasuk dalam kes seorang gadis yang didakwa dirogol dan
didera secara seksual di Pulau Tioman.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan memastikan tiada
sesiapa yang akan terlepas dari dikenakan tindakan sekiranya terdapat
bukti jelas mereka melakukan jenayah.
"Saya akan memastikan tiada sesiapa juga termasuk pegawai kerajaan yang terlepas dari sebarang tindakan.
"Tindakan juga akan diambil kepada mana-mana pegawai polis yang 'cover
up' (kes jenayah yang dilakukan mana-mana pegawai kerajaan," katanya
kepada pemberita.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung kes
seorang gadis bawah umur yang mendakwa dirogol bergilir-gilir dan didera
secara seksual oleh lima lelaki termasuk seorang anggota Jabatan Kastam
di Pulau Tioman.
Laporan itu turut memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Rompin, DSP
Muhammad Aidil Roneh Abdullah bahawa enam individu, termasuk seorang
wanita telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes itu, namun
menafikan pembabitan anggota Kastam dalam kes berkenaan.
Terdahulu Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 20 minit berjumpa
dengan petugas media pelbagai agensi di pusat media bagi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar di Hotel Kompit, di sini hari Sabtu.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri
Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei
lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun.
-BERNAMA-