Kemenangan BN Beri Peluang Kerajaan Majukan Kuala Kangsar
Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen
Kuala Kangsar akan memberi peluang kepada kerajaan untuk membawa lebih
banyak pembangunan di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
menerusi kemenangan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid itu nanti, ia
membolehkan usaha menyambung legasi perjuangan arwah suaminya
Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga
penyandang kerusi berkenaan.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri yang juga anak jati
negeri Perak, akan turut bersama membawa suara rakyat di Parlimen
sekiranya BN sekali lagi diberi mandat.
"Ini negeri kita takkan tidak tahu bagaimana mahu membalas budi di
negeri tanah tumpah darah. Kalau yang lain dipilih tentu tidak dapat
kita (kerajaan) terjemahkan dalam bentuk pembangunan," kata Anggota
Parlimen Bagan Datoh itu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bersama Pemimpin di Sekolah
Kebangsaan Manong, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut menyeru anggota RELA
untuk memberi sokongan padu kepada BN sebagai pentadbir kerajaan negeri
di bawah pimpinan Zambry.
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan 18 Jun ini berikutan kematian
penyandangnya Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas
helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Sementara itu, Kamariah berkata kemampuan RELA menjaga keselamatan
negara semakin diyakini apabila jabatan itu bukan sekadar menjaga lalu
lintas atau kenduri kahwin malah telah dipertanggungjawabkan menjaga
keselamatan awam.
"Tahun ini sebanyak 44 jabatan telah memohon perkhidmatan anggota RELA
mengawal keselamatan bangunan masing-masing dan anggota kita juga sedang
melalui latihan pengurusan bencana.
"Transformasi itu membuktikan RELA mampu menjaga keselamatan awam
selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Disember tahun lalu yang
menyatakan RELA adalah barisan benteng kedua negara," katanya.
-BERNAMA-