Dua Nelayan Sekinchan Dibebas Dan Dibawa Pulang Esok
Dua nelayan di Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana
dipercayai menceroboh perairan negara itu, akan dibebaskan dan dibawa
pulang esok.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia
berikutan Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi telah
menandatangani surat pengampunan terhadap nelayan berkenaan, Chua Lee
Teck dan Heng Chee Yong.
Beliau berkata kedua-dua nelayan berkenaan kini ditahan di Tanjung Balai, Indonesia.
"Oleh kerana mahkamah Indonesia telah menjatuhkan hukuman, dan tempoh
rayuan telah tamat, usaha telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dengan menghubungi Presiden Jokowi.
"Saya juga telah menghubungi Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf
Kalla dan mengarahkan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri
Shahidan Kassim ke Indonesia," katanya ketika mengumumkan berita baik
itu pada majlis makan malam sempena Hari Ibu Bapa di Sekinchan di sini,
malam ini.
Turut hadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi Pilihan Raya
Kecil kawasan Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.
Ahmad Zahid berkata kerajaan sebelum ini, berjanji untuk berusaha
membebaskan nelayan berkenaan, dan berjaya mengotakan janji tersebut.
"Kerajaan buat ini untuk siapa?...untuk penduduk Sungai Besar dan
nelayan yang ada di Sekinchan, kerajaan telah tolong semua," katanya.
Kementerian Luar sebelum ini, mengesahkan tiga bot nelayan Malaysia
iaitu SLFA 4625, PKFB 1512 dan KHF 1917, ditahan pihak berkuasa
Indonesia.
Berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia dan Persatuan Kebajikan
Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, tangkapan itu dilakukan di
perairan Malaysia serta tidak konsisten dengan persefahaman sedia ada
antara kedua-dua negara berhubung isu berkaitan perikanan.
Sementara itu, isteri kepada Chee Yong, Nguyen Thi Nhung, 29, berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu suaminya.
"Saya sudah dua bulan tidak berjumpa dengannya, dan tidak sabar menunggu esok," katanya yang berasal dari Vietnam.
-BERNAMA-