Bekas Menteri Kembali Ke Kabinet, Timbalan Menteri Naik Pangkat, Husni Berhenti
Bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri
penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Ketika membuat pengumuman itu dalam sidang media di sini, Najib turut
memaklumkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhasrat menamatkan
perkhidmatan sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi, selain
akan menyusun semula tugas menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana
Menteri.
Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa
masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul
Ghani dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Najib juga memgumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan
seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet bagi memantapkan
pentadbiran.
"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda
pembangunan kerajaan untuk rakyat - pembangunan ekonomi, kebajikan dan
keselamatan - terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah
dijanjikan," katanya.
Tiga timbalan menteri baharu dilantik ialah Anggota Parlimen Jerlun
Datuk Othman Aziz sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Anggota Parlimen
Silam Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Timbalan Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi manakala Anggota Parlimen Lawas Datuk Henry Sum
Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K Devamany dilantik semula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Najib berkata penyusunan semula Kabinet turut melibatkan pertukaran
portfolio menteri Kabinet sedia ada iaitu Menteri di Jabatan Menteri
Datuk Seri Mah Siew Kiong kini sebagai Menteri Perusahaan Perladangan
dan Komoditi manakala Menteri Kesejahteraan Bandar , Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menggalas tugas sebagai
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit
Perancang Ekonomi (EPU).
Timbalan menteri yang terlibat dalam pertukaran portfolio adalah antara
Datuk Chua Tee Yong yang mengambil alih tugas di Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri daripada Datuk Lee Chee Leong yang bertukar
ke Kementerian Kewangan.
Mah, yang juga Presiden Gerakan, sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana
Menteri yang bertanggungjawab untuk mengetuai lembaga wakaf Hindu,
menyelia Unit Inovasi (UNIK), bertanggungjawab terhadap organisasi yang
berurusan dengan tenaga nuklear dan Kumpulan Teknologi Tinggi Industri
Kerajaan Malaysia (MIGHT) manakala Abdul Rahman juga merupakan Pengarah
Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN).
Najib berkata selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43
Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan
Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan,
Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan-pelantikan
tersebut.
Beliau berkata rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri persekutuan dan timbalan menteri persekutuan.
Ini termasuk peletakan jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan
Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang telah bertanding pada
pilihan raya negeri Sarawak Ke-11 pada Mei lepas dan kemudiannya
dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
Tan Sri Wahid Omar juga telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan
tempoh perkhidmatan sebagai Senator yang tamat pada bulan ini dan
seterusnya sebagai menteri di jabatan perdana menteri.
Selain itu, terdapat juga kekosongan jawatan timbalan menteri
perusahaan, perladangan dan komoditi setelah pemergian ke rahmatullah
penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas udara Mei lepas.
Rombakan Kabinet hari ini merupakan kali ketiga dilaksanakan Najib.
Najib melakukan rombakan Kabinet pertamanya pada 25 Jun 2014 melibatkan
penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada
Gerakan dan MCA dalam barisan Kabinet.
Ia termasuk pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai
Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong sebagai
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mah selaku Presiden Gerakan
sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Najib ketika melakukan rombakan Kabinet yang kedua pada 28 Julai 2015
berkata ia dilakukan untuk memperkukuhkan barisan dalam menghadapi
cabaran dalam menguruskan negara sebelum pilihan raya umum ke-14
(PRU14).
Rombakan tersebut menyaksikan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang digugurkan.
Semasa ditanya sama ada barisan Kabinet ini adalah sebagai persediaan
BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Ia
bergantung bila pilihan raya umum akan datang akan diadakan."
Kepada soalan bila beliau akan mengadakan pilihan raya umum, katanya: "Saya tak tahu lagi."
Ketika ditanya jika beliau sedar tentang rancangan Husni untuk bersara,
Najib berkata Husni telah memaklumkan kepada beliau tentang hasratnya
untuk bersara dan ia harus dihormati.
"Beliau sudah bersedia untuk bersara," katanya.
"Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat
bakti yang telah dicurahkan oleh beliau selama ini," katanya.
Kepada soalan kenapa tiada wanita dipilih untuk mengisi jawatan dalam
rombakan Kabinet kali ini, Najib berkata: "kami boleh sentiasa isi pada
bila-bila masa. Tidak perlu bimbang mengenainya."
-- BERNAMA-