Badan Korporat Perlu Bantu Golongan Tidak Bernasib Baik
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mahu badan korporat menjalankan tanggungjawab sosial korporat
(CSR) bagi membantu golongan tidak bernasib baik.
Beliau berkata harta yang dimiliki wajar dikongsi bersama, namun pemberian tersebut perlulah dihulurkan secara ikhlas.
"Ini bukan tentang jumlahnya, janji perlu ada keikhlasan ... ini
bukanlah tanggungjawab korporat semata-mata tetapi juga adalah
tanggungjawab syarie," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian
sumbangan Ramadan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di
sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, harta yang
dimiliki bukanlah milik diri sepenuhnya kerana sebahagian kecil adalah
milik golongan miskin, asnaf dan ibu tunggal.
Malah, katanya rezeki yang halal disedekahkan kepada orang kurang upaya,
asnaf dan ibu tunggal pastinya akan mendapat infak dan keberkatan
daripada Allah SWT.
"Saya harap harta yang ada boleh dimanfaatkan sebaiknya. Seolah-olah
kita tanam sebiji gandum, dan daripada biji tu akan tumbuh sepohon
gandum, dalam sepohon gandum itu ada 10 tangkai dan setiap satu tangkai
itu mempunyai 70 biji.
"Begitulah ganjaran besar dijanjikan oleh Allah SWT," kata Ahmad Zahid.
Selepas majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menghadiri majlis penyampaian sumbangan Ramadan di DUN Hutan Melintang.
Sebanyak 1,051 penerima iaitu 579 dari DUN Hutan Melintang dan 472 dari
DUN Rungkup menerima bantuan Ramadan daripada Yayasan Tan Sri SM
Nasimuddin dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)
berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya SM
Faisal Nasimuddin menghulurkan sumbangan RM200,000 manakala Presma
diwakili Presidennya Norul Hassan Saul Hameed menyumbang RM100,000 bagi
program itu.
Selesai majlis tersebut, Ahmad Zahid menghadiri tahlil dan berbuka puasa
bersama kira-kira 2,000 masyarakat setempat serta bersolat Maghrib
berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Nur Hakim Jenterak di Masjid Kampung
Sungai Keli, Hutan Melintang.
Beliau kemudiannya bersolat Isyak dan sunat tarawih bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Aula, Pekan Simpang Empat.
Biarpun keadaan beliau sebenarnya tidak berapa sihat hari ini, Ahmad
Zahid masih tetap mahu memenuhi jadual dan programnya bertemu masyarakat
di kawasan diwakilinya dari pagi hingga malam.
-BERNAMA-