Ahmad Zahid Harapkan Kematangan Politik Dalam Kempen Dua PRK
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap parti
yang bertanding dalam dua pilihan raya kecil (PRK) dapat terus
mengekalkan kematangan politik semasa berkempen sepertimana dipaparkan
pada proses penamaan calon hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata kematangan politik itu dapat dilihat
berdasarkan suasana tenang dan keharmonian yang ditunjukkan antara
penyokong dan calon parti-parti bertanding ketika proses penamaan calon
bagi PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Perak.
"Kepimpinan ketiga-tiga parti telah dapat bertemu dengan baik, bukan
hanya sekadar membicarakan soal-soal politik tapi juga kami (duduk
semeja) makan bersama. Suasana ini harus diterjemahkan dalam tempoh
kempen.
"Saya merasakan ini bagi menghormati bulan Ramadan (bermula esok). Bagi
saya jika perbezaan pendapat dapat diraikan dengan akhlak dan sahsiah
terpuji, maka saya fikir terserahlah kepada rakyat untuk memilih siapa
(calon) yang terbaik," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian pada pemberita
selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Sungai Besar yang
menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Parti Amanah
Negara (Amanah).
Pengurus PRK Sungai Besar Khairuddin Md Som mengesahkan tiga calon iaitu
Budiman Mohd Zohdi daripada BN, Dr Abdul Rani Osman daripada PAS dan
Azhar Abdul Shukor daripada Amanah yang mewakili Pakatan Harapan, layak
bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.
Sementara PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.
Mereka ialah Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN, Ketua Dewan Muslimat
PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala
Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail
Bukhary.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Pengerusi BN turut
menasihatkan kepimpinan parti komponen BN untuk mengukuhkan dan
merapatkan barisan bagi memastikan kemenangan besar bagi kedua-dua calon
BN yang bertanding.
"Untuk jentera (PRK), saya ucapkan terima kasih kepada semua parti
komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti mesra BN. Kita lihat
(parti komponen) semangat begitu tinggi dan tidak ada sebarang insiden
yang berlaku.
"Kita hendaklah berada dalam satu pasukan untuk hadapi rakyat kerana
rakyat yang menjadi hakim untuk menentukan siapakah yang bakal (dipilih)
menjadi anggota Parlimen nanti," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata BN akan mengambil pendekatan sederhana,
namun akan memastikan mesej kempen disampaikan dengan jelas kepada semua
pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai menghormati bulan
Ramadan.
Menurutnya, bulan Ramadan tidak akan menjadi penghalang bagi anggota
jentera pilihan raya BN yang beragama Islam untuk mendekati rakyat
selain menggunakan peluang tersebut untuk berkhidmat mengikut tuntutan
agama Islam.
"Kumpulan berbeza (parti bertanding) tentunya pendekatan yang berbeza.
Tetapi kita yakin pendekatan itu perlu sesuai dengan citarasa tiap-tiap
khalayak tumpuan," katanya.
Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar, Ahmad Zahid
berkata: "BN tidak mahu bersikap takabbur ataupun riak dan Insya-Allah
kita sentiasa berada di barisan hadapan".
Katanya BN tidak akan mencampuri urusan dan masalah yang dihadapi antara
PAS dengan Pakatan Harapan dan hanya memfokuskan menjaga rakyat.
"Kita tak mahu melayani perbezaan begitu. Justeru saya harap rakyat memberikan kepercayaan kepada BN," katanya.
Ditanya mengenai harapan pada PRK Parlimen Sungai Besar, Ahmad Zahid
berharap lebih 40,000 pengundi di kawasan itu akan memberi peluang
kepada Budiman untuk menjadi wakil mereka kerana beliau adalah calon
tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk
kawasan itu.
"Saya berharap pengundi di Sungai Besar akan dapat melihat ini bukan
dengan emosi tetapi dengan kenyataan daripada rekod cemerlang yang telah
diperlihatkan oleh wakil-wakil rakyat terutama Anggota Parlimen BN
sebelum ini," katanya.
Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri
Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban
dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lalu.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noriah mengalahkan calon PAS Mohamed
Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi manakala Wan Mohammad Khair-il
Anuar menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan Bebas Datuk
Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi..
Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18
peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus
pengundi India dan 0.23 peratus pengundi daripaDa kaum lain.
Parlimen Kuala Kangsar pula mempunyai 32,949 pengundi mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lepas.
-BERNAMA-