Wujud Elemen Sabotaj Dalam Pelaksanaan MyIMMs
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini
berkata pihaknya percaya wujud perbuatan sabotaj dalam pelaksanaan
Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) oleh Jabatan Imigresen.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beberapa nama telah
dikenal pasti dan akan diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan
Imigresen Datuk Sakib Kusmi serta Polis Diraja Malaysia.
"Tetapi jangan ingat tindakan itu telah dinoktahkan (selepas pengumuman
nama), sebaliknya pemantauan sedang dilakukan sebab asasnya adalah
jangan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta melakukan sabotaj
terhadap sistem sedia ada.
"Saya mempunyai pendirian daripada dahulu hingga sekarang, jika ada
permasalahan yang dilakukan orang dalaman serendah dan setinggi mana pun
(pangkat), tidak akan pernah terlepas daripada tindakan perundangan,"
tegasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat
Membincangkan Program-Program Pembangunan Daerah Kuala Kangsar di
Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 pada 18 Mei
lalu yang menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi
utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya
terjejas.
Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta
telah dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di
pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga
asing dan juga rakyat Malaysia.
Ahmad Zahid berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Audit
Negara untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat secara menyeluruh
teguran itu termasuk membuat audit pengurusan dan audit forensik.
"Jika sistem salah, maka pembekal akan diambil tindakan tetapi jika ada
kesilapan manusia, maka tindakan 'menyemak semula' untuk sebarang
pendekatan operasi akan dilakukan," katanya.
-BERNAMA-