Usaha Kerajaan Majukan Pendidikan Untuk Kepentingan Rakyat
Usaha kerajaan membangunkan bidang pendidikan di negara ini adalah bagi
memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik dan bukan bagi tujuan
politik, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata dengan memajukan bidang pendidikan,
semua rakyat akan mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut, termasuk
penduduk di luar bandar.
"Tidak kira sama ada Gen X, Gen Y atau Alpha, kerajaan memberi
peruntukan yang banyak bukan sahaja untuk pembelajaran dalam kelas
tetapi juga di luar kelas termasuk ko-kurikulum," katanya semasa
merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin dekat sini Selasa.
Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sesuatu kepada calon Barisan Nasional (BN) Beting Maro Razali Gafor selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Beladin
"Kerajaan beri pelbagai peruntukan untuk pendidikan. Jadi sokonglah kerajaan yang membawa pembangunan ini," katanya.
Ahmad Zahid berharap semua pihak menghargai usaha yang dilakukan oleh
kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik.
Ahmad Zahid berkata kerajaan memberi banyak kemudahan pendidikan yang
bukan sahaja pembangunan fizikal tetapi juga dari segi pengisiannya.
"Kemudahan itu suatu pengisian minda dan hati nurani. Penekanan dalam
pendidikan oleh kerajaan terutama melalui Kementerian Pendidikan adalah
bagi memastikan supaya generasi di negara ini terdidik.
"Terdidik bukan hanya dalam bidang pelajaran tetapi juga mempunyai akhlak yang baik," katanya.
Beliau juga berharap dengan semua kemudahan yang disediakan kerajaan
itu, guru-guru dapat memanfaat kemudahan tersebut bagi mendidik
generasi muda negara dengan sebaik mungkin.
"Saya yakin penekanan kerajaan dalam bidang pendidikan dapat
diterjemahkan dengan baik oleh pendidik. Kanak-kanak ini kadang-kadang
dia lebih dengar cakap guru daripada ibu bapa.
"Pendidik adalah golongan profesional yang dihormati oleh semua generasi," katanya.
Ahmad Zahid berkata sumbangan kerajaan kepada bidang pendidikan jangan
hanya dinilai melalui peruntukan tetapi juga kepada pengisiannya.
"Pembangunan fizikal boleh dilakukan tetapi pembinaan peribadi,
membentuk generasi yang merupakan aset negara perlu dilakukan melalui
sistem pendidikan terbaik.
"Melalui sistem pendidikan terbaik bukan hanya Malaysia akan menjadi
negara maju pada 2020, tetapi apabila meraikan kemerdekaan negara ke-100
pada 2057, kita benar-benar jadi negara maju dan mempunyai tenaga
profesional, yang mana rakyat mendapat pendidikan tinggi kira-kira 70
peratus daripada rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata usaha itu hanya boleh dilakukan dengan adanya kerjasama antara kerajaan, pendidik, ibu bapa dan masyarakat.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membina dewan terbuka untuk sekolah itu.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul
Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, dan calon Barisan
Nasional bagi kerusi Beting Maro, Razali Gapor.
-BERNAMA-