Tenaga Kerja Malaysia Digesa Sertai Sektor Pembinaan
Kuala Lumpur - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mahu melihat lebih banyak rakyat Malaysia menyertai sektor
pembinaan bagi menangani kekurangan pekerja asing di negara ini.
Beliau berkata walaupun kini terdapat kira-kira dua juta pekerja asing
di negara ini, majikan masih berdepan kekurangan pekerja, menyebabkan
beberapa projek lewat untuk disiapkan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid
yang juga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa kerajaan mengambil
perhatian situasi itu dan sedang memperhalusi proses pengambilan
pekerja asing.
"Kerajaan sedar berhubung aduan berkaitan kekurangan tenaga kerja di dalam negara, termasuk dalam sektor pembinaan.
"Kami melihat dan mendengar (masalah), dan mengkaji permintaan mereka
(majikan)," katanya dalam ucaptama pada Perhimpunan Persatuan
Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) Asia Pasifik Ke-16 di sini.
Ahmad Zahid berkata majikan juga perlu melatih lebih banyak tenaga
kerja mahir tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap
masalah itu.
Berucap kepada 500 perwakilan daripada lebih 30
negara di rantau Asia Pasifik, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan
Malaysia komited untuk memastikan semua projek termasuk pengangkutan
awam, dilaksanakan mengikut jadual.
"Kami akan memastikan tiada
projek mengalami kelewatan tetapi sekiranya kelewatan tidak dapat
dielakkan, ia perlu dipastikan pada tahap minimal," katanya.
Beliau berkata tatkala negara menjadi semakin maju dan progresif, sistem
pengangkutan awam perlu seiring dengan kemajuan itu dari segi
kemampanan dan mesra ekologi.
Beliau berkata adalah juga amat
penting bagi perniagaan dan pihak kepentingan diberikan peluang untuk
turut serta dalam merancang infrastruktur pengangkutan.
Ahmad
Zahid turut berkongsi dengan para perwakilan tentang perkembangan
projek-projek pengangkutan awam yang sedang dilaksanakan.
Beliau
berkata ini termasuk menambah baik laluan rel utama dan rangkaian bas di
Lembah Klang, meningkatkan kapasiti perkhidmatan monorel dan LRT serta
memperkenalkan Sistem Hab Pemantauan Prestasi Bas dan model baharu bagi
perniagaan teksi.
Katanya projek lain yang dirancang ialah projek Rel Bandar Putrajaya dan projek Bas Rapid Transit yang kedua bagi Lembah Klang.
-Berita RTM-