Sarawak Jaga Kepentingan Islam, Tidak Ketepi Agama Lain
Kerajaan negeri Sarawak terbukti berjaya menjaga kepentingan Islam dan
pada masa sama tidak mengetepikan agama lain, kata Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menarik perhatian bahawa walaupun dengan kepelbagaian agama,
orang Islam dan bukan Islam begitu saling menghormati di negeri ini.
"Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan sebelum ini Tun Abdul Taib
Mahmud berjaya berikan kesyumulan kepada Islam tetapi masih menjaga
bukan Islam, dan mereka bebas dengan agama mereka," katanya ketika
berucap pada tinjauan mesra di Masjid Al-Abiyad, Matang Jaya, Petra
Jaya, di sini, malam ini.
Beliau menegaskan Islam perlu dilihat sebagai agama yang mengajak kepada kebaikan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM3 juta kepada masjid itu yang kini dalam pembinaan.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut berkata sebuah balai polis akan dibina bagi manfaat penduduk Matang Jaya.
Hadir sama calon Barisan National (BN) bagi kerusi Tupong, Fazzrudin Abd Rahman.
Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid
Al-Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Abiyad.
-BERNAMA