PVMA Sasar Kurang Kadar Pengangguran
Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Program Vokasional Menengah
Atas (PVMA) di 404 Sekolah Menengah Kebangsaan terpilih yang
melaksanakan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) dalam usaha mengurangkan
kadar pengangguran dalam kalangan belia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata program itu adalah tindakan susulan
hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tahun
lepas menerusi penekanan aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan
Vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan dan kurikulum bagi menarik
minat pelajar supaya memilih TVET sebagai pilihan pertama.
"Ini akan meningkatkan jumlah pengambilan bagi pelajar lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) ke bidang TVET sebanyak 45 peratus berbanding
36 peratus pada masa ini.
"Secara tidak langsung, peningkatan ini turut menyumbang kepada
pengurangan bilangan pelajar lepasan SPM menyertai pasaran pekerjaan
tanpa sebarang latihan kemahiran kepada 5 peratus menjelang 2020,"
katanya pada majlis perasmian MPPK 2016 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Razali Ibrahim. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan
Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha Kementerian
Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Zaini Ujang.
Ahmad Zahid berkata PVMA melibatkan 10,000 pelajar di seluruh negara.
"Kementerian Pendidikan turut menyediakan dua laluan mengikuti TVET,
iaitu selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau selepas Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
"Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), TVET akan memberi
tumpuan kepada transformasi penyampaian bagi memenuhi permintaan
industri dan meningkatkan tarikan TVET sebagai laluan pendidikan
pilihan," katanya.
Selain itu dalam jangka masa panjang, Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus pelajar
menengah atas mengikuti bidang TVET menjelang tahun 2020, katanya.
Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia membuka
peluang kepada pelajar memasuki pusat latihan kemahiran yang dibuka
kepada lepasan sekolah dan individu yang berminat untuk melanjutkan
pengajian dalam TVET.
"Antaranya program mengoptimumkan kapasiti latihan di 32 Institusi Latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
"Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pula melalui Majlis Amanah Rakyat
(MARA) telah memperkemaskan kurikulum keusahawanan melalui kaedah
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam perniagaan dengan
kerjasama Multimedia Development Corporation (MDEC)," katanya.
Berhubung maklum balas kerajaan terhadap pembentangan kertas kerja MPPK
tahun lepas mengenai pembekuan pengambilan pekerja sektor awam, Ahmad
Zahid berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak melaksanakan
pembekuan pengambilan kakitangan.
"Sebaliknya, pembekuan hanya dilaksanakan bagi pewujudan jawatan-jawatan baharu di kementerian atau jabatan sahaja.
"Pengambilan dan pengisian kakitangan awam masih dilaksanakan SPA bagi
kekosongan jawatan-jawatan sedia ada di mana kementerian atau jabatan
perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
terlebih dahulu sebelum urusan pengisian dilaksanakan," katanya.
Terdapat tiga pembentangan kertas kerja MPPK 2016 iaitu Sukarelawan: Ke
arah Pembentukan Komuniti Penyayang; Perekayasaan Capaian Kemahiran:
Pedalaman Sabah dan Sarawak dan Konsep Penyertaan ataupun Penglibatan
Sivik Masyarakat Dalam Kerajaan Malaysia.
MPPK 2016 diwakili 65 perwakilan pelajar institusi pengajian tinggi
awam/ swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara.
-BERNAMA-