PRK Kuala Kangsar Guna Acuan PRK Teluk Intan
Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan 'template' atau acuan
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dua tahun lalu dalam PRK
Parlimen Kuala Kangsar bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata acuan yang diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja jentera
parti berjaya memastikan kemenangan kepada BN di Teluk Intan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry
Abd Kadir kerana telah tersedia (dengan template) PRK Teluk Intan yang
telah memberikan keberhasilan agak memberangsangkan," katanya
Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas
sebagai Timbalan Presiden parti berkata demikian kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Negeri
Perak, di sini hari ini. Turut hadir Zambry, Naib Presiden UMNO Datuk
Seri Dr Hishammuddin Tun Hussein dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk
Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Pada PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei 2014, calon BN Datuk Mah Siew Keong
menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 138 undi.
Ahmad Zahid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa BN tetap
menganggap ia adalah 'underdog' dalam PRK Kuala Kangsar berdasarkan
jumlah undi yang diperoleh BN dalam pilihan raya umum ke-13.
"Kami akan menggandakan usaha kerana pihak lawan kami sama ada PAS atau
Parti Amanah Negara (Amanah) atau kedua-duanya sekali, mereka bersiap
siaga untuk menawan kembali Parlimen Kuala Kangsar," katanya.
Katanya sebagai persediaan menghadapi PRK itu, Menteri Besar Perak telah
membuat pembahagian kepada jentera UMNO daripada beberapa negeri untuk
menjaga kawasan tertentu termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Selain itu, beliau berkata UMNO Bahagian Kuala Kangsar termasuk
pergerakan sayap telah sedia untuk menggerakkan jentera bagi memastikan
kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal milik BN.
"Jika gerak kerja diteruskan dan jika permasalahan dalaman dapat
diselesaikan, kita tak nampak calon kita yang akan ditentukan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ada masalah untuk menang,"
katanya.
PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di
Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar,
Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Datuk Noriah Kasnon.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan
Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada
5 Jun.
-BERNAMA-