PRK Kuala Kangsar: Calon BN Penuhi Lima Elemen Ditetapkan Parti
Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya
kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan, Datin Mastura Mohd Yazid menepati
semua lima elemen yang ditetapkan oleh parti termasuk seorang yang
profesional.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
selain itu pemilihan Mastura juga dibuat kerana beliau sangat memahami
faktor muka bumi Kuala Kangsar di samping mesra dengan masyarakat.
"Calon juga faham mengenai parti (UMNO dan BN) dan tidak akan
menyanggah kepimpinan bahagian. Kita juga mahu memberi keutamaan kepada
tulang belakang kita (Pergerakan Wanita UMNO)," katanya pada majlis
pengumuman calon BN dan pelancaran jentera BN bagi PRK Kuala Kangsar di
sini hari Sabtu.
Mastura, 55, merupakan balu kepada Anggota Parlimen sebelum ini Datuk
Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas
helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ibu kepada empat anak itu merupakan seorang graduan undang-undang
universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom
dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.
Selain itu, beliau juga bergiat cergas dalam dunia politik dan menjadi
Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum
mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarga serta
arwah suaminya.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO meminta semua pihak dalam
parti supaya memberi sokongan padu kepada Mastura untuk memastikan BN
dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
"Lawan kita (PAS) letak seorang profesional juga seorang wanita, maka kita juga harus cari seorang profesional.
"Kita bukan maksum, tentunya ada kelemahan. Maka calon yang dipilih itu
adalah calon BN, tiada dakwa dakwi (pelbagai aduan dan tuduhan) dalam
kalangan kita.
"Kalau ada yang kecil hati sama ada kepimpinan sedia ada atau mantan
kepimpinan sebelum ini..lupakan.. dan kita berdiri sama-sama menyokong
calon," katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata pemilihan calon juga dibuat bagi
memastikan kesinambungan pembangunan yang pernah dirancang dan
dilaksanakan oleh Wan Mohammad Khair-il sebelum ini dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kesinambungan kemajuan di Kuala
Kangsar perlu diteruskan dengan berteraskan politik pembangunan dan
bukannya pembangunan moden semata-mata selari dengan gelarannya sebagai
Bandar Diraja.
"Kita harus bangunkan Bandar Diraja ini. Tentunya bila kita mahu
melihat sesuatu yang ada kesinambungan, maka perlu ada tua, muda, wanita
dan lelaki.
"Kita tahu orang muda di Kuala Kangsar ini ada 36 peratus (daripada
32,949 pemilih berdaftar), maka citarasa mereka perlu diterjemahkan
dalam bentuk aktiviti projek pembangunan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
PRK Kuala Kangsar mungkin menyaksikan pertandingan lebih daripada satu
lawan satu apabila Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan
calonnya pada 1 Jun.
Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr
Najihatussalehah Ahmad sebagai calon parti itu dalam PRK Kuala Kangsar.
-BERNAMA-