Pemberian Bantuan Dan Dana, Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
pemberian bantuan dan dana kepada Sarawak adalah tanggungjawab kerajaan
persekutuan untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.
Beliau berkata bantuan yang disalurkan bukan secara bermusim atau
ketika pilihan raya sahaja malah ia juga berdasarkan permintaan dan
keperluan negeri.
"Mana-mana kerajaan akan membantu rakyatnya. Jika tiada pilihan raya,
bantuan dan peruntukan juga disalurkan sebab (kami) kerajaan persekutuan
bukan kerajaan berlandaskan kepada kepimpinan politik bermusim.
"Kita tidak hanya datang ketika pilihan raya. Kita bukan kelawar dan
keluang yang mengutip buah ketika musim buah sebaliknya kita memberi
kesinambungan peruntukan. Ini adalah tanggungjawab kami membantu
rakyat," katanya kepada Bernama ketika melawat Pusat Operasi Media
Bernama di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Nurul Izzah
Anwar kononnya pengumuman dana di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu
Kawa semalam adalah satu tindakan cubaan membeli undi.
Ahmad Zahid berkata kehadiran menteri persekutuan membantu BN Sarawak
adalah merupakan tanggungjawab anggota pentadbiran kerajaan apabila
berada dalam parti yang sama.
Kita turun ke bawah bukan sekadar membantu dari segi sokongan moral
tetapi juga memenuhi keperluan pembangunan dan peruntukan ikut bidang
masing-masing. Sebenarnya, Sarawak memerlukan banyak peruntukan untuk
pembangunan infrastruktur, pendidikan dan juga bantuan lain.
"Saya berharap apa yang telah disumbangkan bukan sahaja membantu rakyat
secara langsung, ia juga menunjukkan keikhlasan yang dilakukan kerajaan
pusat.
"Ini menunjukkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
yang jarang bermukim begitu panjang pada (mana-mana) pilihan raya
negeri. Kesungguhan perdana menteri adalah untuk menterjemahkan sokongan
peribadi kepada (Ketua Menteri Tan Sri) Adenan (Satem)dan juga rakyat
Sarawak," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang melawat banyak tempat di Sarawak sejak
hari penamaan calon pada 25 April untuk Pilihan Raya Sarawak ke-11,
berkata respons keseluruhan pengundi adalah amat positif dan
menggalakkan berbanding pilihan raya sebelum ini.