NGO Berkaitan Dadah Perlu Utamakan Keberhasilan Program Perangi Dadah
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu badan-badan bukan kerajaan (NGO)
berkaitan dadah mengutamakan keberhasilan program yang dilaksanakan
untuk memerangi penyalahgunaan dadah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun pelbagai aktiviti
dilaksanakan NGO dan agensi kerajaan untuk membanteras penyalahgunaan
dadah, jumlah penagih dadah masih tidak berkurangan setiap tahun.
"Kita harus melihat bukan hanya dari segi output...berapa banyak
persatuan yang ada. Berapa banyak aktiviti yang ada. Berapa banyak wang
yang akan diberikan.
Ahmad Zahid menyampaikan cek RM2 juta kepada Presiden Malaysia Subtance Abuse Council (MASAC), Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd
"Tetapi kita kena lihat apakah hasilnya. Apakah keberhasilannya
daripada dana yang diberikan kerajaan, selain daya pintar yang dibuat
NGO dan pusat pemulihan daripada kerajaan," katanya semasa melancarkan
Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) di sini hari ini.
Sempena pelancaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri
turut menyerahkan dana RM2 juta kepada MASAC sebagai geran tahunan untuk
melaksanakan pelbagai program bagi memerangi najis dadah.
MASAC adalah gabungan 60 NGO dan pusat pemulihan persendirian yang
menjalankan program dan aktiviti berkaitan penyalahgunaan bahan
terlarang, termasuk menyediakan rawatan dan pemulihan dadah.
Menurut Ahmad Zahid beliau juga mahu melihat hasil daripada penubuhan MASAC menerusi dana yang diberikan.
"Mulai hari ini, kita tutup buku lama. Kita buka buku baharu. Saya
telah isytiharkan di Sarawak tahun membanteras dadah. Tetapi jangan
biarkan saya keseorangan kerana saya yakin saya tidak keseorangan. Saya
yakin saudara-saudari boleh melakukan yang terbaik," katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya NGO dan pelbagai pihak tanpa mengira
bangsa untuk bersatu membanteras penyalahgunaan dadah dan memulihkan
para penagih dengan menggunakan pelbagai pendekatan.
"Kita semua adalah aset kepada negara. Kalau menjadi pesakit, aset ini
akan bertukar menjadi liabiliti. Jadi tanggungan kepada masyarakat, ibu
bapa dan institusi sosial dan beban kepada negara," kata beliau.
-BERNAMA-