Mesyuarat Kabinet Di Kuching Untuk Sokong Sarawak
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
mesyuarat mingguan Kabinet yang akan diadakan di sini esok, adalah untuk
menyokong kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan telah dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Beliau (Najib) merasakan bahawa beliau perlu berada di sini, dan
beliau ingin mendapatkan komitmen daripada setiap menteri Kabinet.
Justeru, kami bersetuju dengan cadangan beliau.
"Mesyuarat Kabinet esok adalah untuk menunjukkan komitmen dan sokongan
moral kami terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Ia juga bagi
menterjemahkan sokongan kami kepada Adenan dan juga visi beliau.
"Melalui sokongan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan
Datuk Seri Najib, kita berada di sini untuk bersama-sama dengan rakyat
Sarawak," katanya semasa lawatan beliau ke Pusat Operasi Media Bernama
di sini hari ini.
Kali terakhir mesyuarat Kabinet diadakan di luar Kuala Lumpur ialah
pada 1999 di Langkawi semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa
Langkawi (LIMA).
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz
baru-baru ini, berkata mesyuarat Kabinet akan diadakan di sini, kerana
terdapat lapan menteri persekutuan dari Sarawak yang terlibat dalam
kempen pilihan raya negeri.
Nazri berkata ia juga bagi memudahkan menteri-menteri lain dalam portfolio
berkaitan untuk berada di sini semasa pilihan raya negeri itu.
-BERNAMA-