BN Guna Pendekatan Munasabah Tarik Pengundi Muda
Barisan Nasional (BN) mempunyai beberapa pendekatan yang disifatkan
sebagai 'munasabah' dalam usaha memikat pengundi muda pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata pendekatan mesra golongan muda tersebut akan disesuaikan mengikut situasi setempat.
"Kita mempunyai beberapa pendekatan munasabah yang disesuaikan dengan
situasi setempat. Kita yakin kaedah itu akhirnya akan menerobos minda
kumpulan sasaran (golongan muda)," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan pimpinan BN Selangor di
sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai pendekatan tersebut.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi BN Selangor
Datuk Seri Noh Omar.
Mengenai usaha menarik pengundi bukan Melayu, Ahmad Zahid berkata UMNO
akan bekerjasama dengan parti-parti komponennya dalam kempen PRK itu
nanti.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, berkata
parti itu juga memberi mandat sepenuhnya kepada kepimpinan BN Selangor
dan jentera parti di Sungai Besar untuk memastikan kemenangan BN.
Beliau berkata walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, BN hanya
memperoleh majoriti 399 undi, beliau yakin jumlah itu dapat ditingkatkan
lagi menerusi kerja kuat dan perpaduan seluruh jentera parti.
"Kita (semua jentera BN) perlu ketepikan kepentingan peribadi. Kita
buktikan kita akan peroleh kemenangan paling besar. Jentera yang kuat,
adalah jentera anak-anak tempatan..." katanya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk
Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5
Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.
-BERNAMA-