Bekas Pemimpin Jangan Jadi Kitab Lama
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mengingatkan bekas pemimpin negara dan parti agar tidak menjadi
seperti 'kitab lama' yang tidak dihormati generasi sekarang.
Tanpa menyebut mana-mana individu, beliau berkata seorang pemimpin
seharusnya menjadi 'kitab' yang terus mendapat penghormatan dan menjadi
rujukan generasi walaupun tidak lagi memegang jawatan penting.
"Cukup-cukuplah bila zaman kita telah berlalu. Kalau kita sudah jadi
sebuah kitab yang tidak boleh dibaca, generasi kita tidak akan
mengoyakkannya...kita akan letak di atas, jika berhabuk pun akan dicuci.
"Tetapi kitab lama kena duduk diam-diam. Jangan jadi kitab di lantai
yang mengotorkan...Tetapi saya tidak merujuk sesiapa, sekadar
mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan," katanya semasa berucap
merasmikan Malam Sumbangsih UMNO Paya Besar 2016 di sini, malam ini.
Majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan anggota UMNO bahagian
itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Ketua
UMNO Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail dan 3,600 anggota parti.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menggesa pemimpin
tersebut supaya menghargai semua pemimpin baharu yang telah diberikan
kepercayaan, amanah dan mendapat sokongan padu daripada peringkat akar
umbi.
"Apabila zaman kita berlalu jangan ingat bahawa kependirian, kedudukan
dan keberadaan kita selama ini disebabkan oleh kebijaksanaan dan
kekuatan kita semata-mata atau sumbangan yang kita lakukan.
"Ingatlah ketika pemimpin dan organisasi itu diuji. Bagaimana semasa
organisasi terbahagi dua dan terpaksa didaftarkan semula. Itu semua
sejarah.
"Generasi kita perlu perkukuhkan semula parti kerana apabila kita kuat baharu institusi kepimpinan akan kuat," katanya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin masa kini
supaya tidak takut berhadapan dengan ujian fitnah kerana sesuatu
perkara yang tidak benar akan berbalik kepada individu yang menyebar
fitnah itu.
"Itu terbukti terjadi kepada pemimpin yang tidak lagi bersama dengan
kita hari ini. Semasa zamannya, kita diminta supaya jangan lupa untuk
sokong pimpinan yang ada kerana parti adalah hak bersama dan bukan hak
peribadi.
"Kita diberikan pelbagai nasihat semasa penggulungan, namun disebabkan
kelupaan atau faktor biologikal, kita lihat ia berbalik kepada mereka
yang berkenaan. Sekali lagi saya tidak merujuk kepada sesiapa.
"Sebab itu kita jangan mudah mengata itu ini kerana zaman kita akan berlalu.
"Jika kita aibkan seseorang, tunggulah ada orang aibkan kita. Jika ada
orang nak aibkan kita, terlalu banyak sampah-sampah di bawah permaidani
yang boleh dikutip tanpa menggunakan vacuum cleaner pun," katanya.
Ahmad Zahid berkata pemimpin masa kini juga perlu mengamalkan pendirian
'win-win situation', mempunyai pertimbangan dan berlaku adil kepada
semua tidak kira peringkat dan bukan hanya membuat pertimbangan
berdasarkan kepentingan sendiri atau keluarga.
-BERNAMA-