Balu Bekas Anggota Parlimen Jadi Calon BN Dalam PRK Kuala Kangsar
Balu bekas Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin
Mastura Mohd Yazid dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun depan.
Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi di Pusat Arahan BN di Resort Safari di sini hari ini.
Mastura, 55, merupakan seorang graduan undang-undang universiti
terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas
sebagai seorang peguam selama enam tahun.
Ibu kepada empat anak itu juga merupakan seorang yang bergiat dalam
dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong,
Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan
kepada keluarganya serta arwah suaminya.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk
Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di
Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh
majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan
calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan
pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir
luar negara (lima).
Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya dalam PRK Kuala Kangsar.
Sementara itu, Parti Amanah Negara akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun.
-BERNAMA-