Ahmad Zahid Mahu Tenaga Mahir Tempatan Isi 1.5 Juta Peluang Kerja Menjelang 2020
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mahu tenaga kerja tempatan mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan dalam
pelbagai sektor yang bakal diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020
bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Timbalan Perdana Menteri berkata 60 peratus daripada peluang kerja yang
bakal diwujudkan berkenaan memerlukan tenaga mahir dalam bidang
teknikal dan vokasional.
"Kita mampu mengoptimumkan tenaga mahir, bukan bergantung kepada
pekerja asing. Keutamaan perlu diberikan kepada pekerja tempatan, dan
tenaga kerja tempatan perlu diberi gaji secukupnya supaya mereka dapat
menyumbang kapada pembangunan negara," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Guru
Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di sini
hari ini. Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri
Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah
Maimunah Suhaibul.
Katanya dengan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing ia
sekali gus dapat menghalang kesan negatif kemasukan pekerja asing ke
negara ini seperti pembawaan penyakit berjangkit termasuk kusta, batuk
kering, untut dan sebagainya.
Ahmad Zahid berkata pada suatu ketika penyakit berjangkit seperti kusta
dan batuk kering seperti sudah tidak lagi wujud di negara ini namun
penyakit berkenaan kini muncul semula.
Selain itu, katanya masalah lain yang ditimbulkan pekerja asing termasuk peningkatan kos rawatan di hospital-hospital kerajaan.
Menurutnya sehingga April lalu sahaja, jumlah bil perubatan hospital
kerajaan yang gagal diselesaikan rakyat asing di negara ini berjumlah
RM110 juta.
-BERNAMA-