54,941 PATI Di Sabah Diusir Sejak 2014
Sebanyak 54,941 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah telah diusir
ke negara asal dari tahun 2014 hingga 12 Mei tahun ini, kata Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Bersama
Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) berkata, pada
tahun 2014 sebanyak 17,720 PATI telah diusir ke negara asal dan
jumlahnya meningkat kepada 27,769 orang pada 2015 dan sehingga 12 Mei
tahun ini pula sebanyak 9,452 orang dihantar pulang.
"Fokus kerajaan yang pertama ialah untuk menangani isu keberadaan PATI
di negeri Sabah dengan menggiatkan tindakan penguatkuasaan dan
pengusiran mereka ke negara asal. Fokus kedua ialah menggiatkan usaha
mengekang kemasukan PATI termasuklah meningkatkan tahap keselamatan di
perairan Sabah.
"Usaha ini antara lainnya boleh dilihat melalui perlanjutan Perintah
Berkurung di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu,
Kinabatangan, Sandakan dan Beluran yang telah memasuki fasa ke-42,
berkuat kuasa mulai 7 malam hingga 5 pagi," katanya dalam kenyataan
bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi
Bersama JKPWAS bersempena mesyuarat JKPWAS di sini hari ini.
Katanya melalui perintah berkurung berkenaan segala pergerakan bot dan
kapal diwajibkan mendapat kebenaran serta permit daripada pihak Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Menurut Ahmad Zahid, Esscom turut meningkatkan operasi memburu PATI di
kawasan berkenaan dan sejak 2015 hingga 4 Mei 2016, Esscom telah
melaksanakan sebanyak 1,823 operasi penguatkuasaan dengan kejayaan
menahan reman sebanyak 11,688 orang PATI.
Beliau berkata fokus ketiga JKPWAS adalah berkaitan isu pemilikan
pelbagai jenis dokumen dalam kalangan warga asing di Sabah dan isu
pengeluaran kad pengenalan oleh sindiket dan orang yang tidak
bertanggungjawab sebagaimana dibangkitkan saksi-saksi daripada kalangan
ahli politik, penulis dan orang awam semasa prosiding Suruhanjaya
Siasatan Pendatang Asing di Sabah.
Katanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sebuah Jawatankuasa
Khas Kad Pengenalan telah menjalankan siasatan terhadap kad-kad
pengenalan terbabit dan semenjak jawatan kuasa itu ditubuhkan pada tahun
1999 dan sehingga kini sebanyak 28,510 rekod telah dibatalkan dan tidak
dikeluarkan dengan kad pengenalan baharu.
Menurut Ahmad Zahid JPN juga telah mengambil tindakan penambahbaikan
secara berterusan yang melibatkan aspek perundangan dan inovasi sistem
bagi maksud permohonan kad pengenalan dengan pengeluaran kad pengenalan
di seluruh negara di bawah satu peraturan seragam iaitu melalui
Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.
"Di bawah peraturan ini, JPN memperkenalkan kad pengenalan 12 digit
yang diproses menggunakan sistem komputer bagi menggantikan pengeluaran
kad pengenalan secara manual. Melalui penambahbaikan sistem pula, JPN
telah menggunakan sistem pengecaman cap jari bersepadu (AFIS) semenjak
tahun 1998," katanya.
Melalui sistem itu, katanya sebelum sebarang kad pengenalan
dikeluarkan, ia perlulah melalui proses pengesahan berpusat di Ibu
Pejabat JPN Putrajaya sahaja sebagai salah satu kaedah kawalan dalaman
bagi membendung berlakunya pengeluaran kad pengenalan yang tidak
teratur.
-BERNAMA-