Zahid Rasmi Projek Rancangan Tebatan Banjir Bernilai RM75 Juta
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam
merasmikan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Intan bernilai
RM75 juta sebagai rancangan jangka panjang yang mampu bertahan sehingga
2100.
Projek kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merupakan
sambungan daripada Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) merangkumi kerja
pembinaan tambak batu sepanjang 2.2km, terbahagi kepada dua zon bermula
Disember tahun lepas dan dijangka siap hujung 2018, bagi mengatasi
masalah hakisan tebing dan banjir.
Ia merupakan pakej enam dan tujuh bagi Fasa Kedua melibatkan pembinaan
Zon B di tebing sepanjang Jalan Woo Saik Hong hingga ke Jeti Kampung
Terengganu di Pasir Berdamar dekat sini, sepanjang 1.7km, manakala
pembinaan Zon A hanya sejauh 500 meter di sepanjang Jalan Wah Keng Jooi.
Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata ia akan memberi faedah kepada
247,000 penduduk yang tinggal berdekatan lembangan Sungai Perak di
kawasan seluas 16.25km persegi di seluruh Hilir Perak apabila projek itu
siap kelak.
"Sungai Perak merupakan yang kedua terpanjang di Semenanjung selepas
Sungai Pahang dan ia (pembinaan projek) tidak harus dilihat sebagai
projek tebatan banjir semata-mata.
"Ini kerana ia juga boleh menghalang sampah sarap dari hulu Sungai Perak daripada berkumpul di muara ini.
"Saya harap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh terdekat mengikut
kemampuan kewangan kerajaan," katanya pada majlis pecah tanah projek RTB
Teluk Intan di Dewan Terbuka Kampung Terengganu di sini Ahad.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga
Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong; dan Exco Belia
Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili
Menteri Besar Perak.
Menurut Ahmad Zahid, projek RTB itu juga dapat mengelak berlakunya
banjir yang sering melanda di Kampung Permatang Pelanduk serta kawasan
sekitar Changkat Jong di sini, yang disebabkan oleh air pasang.
Paras tanah di bandar Teluk Intan antara 1.6 dan 2.5 meter selain
sebahagian besarnya lebih rendah daripada paras air pasang 2.75 meter,
menyebabkan ia sentiasa terdedah dengan masalah banjir serta hakisan dan
keruntuhan tebing sungai yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Sementara itu, Wan Junaidi pada sidang media berkata kerajaan Pusat
menganggarkan kira-kira RM39 bilion diperlukan ketika ini bagi
melaksanakan projek RTB di seluruh negara.
Beliau, bagaimanapun berkata kos itu dijangka terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang secara berperingkat.
"Kita menganggarkan kos tambahan RM340 juta akan diperuntukkan bagi
Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Perak di Teluk Intan membabitkan
kos RM250 juta, manakala RM8.5 juta pula akan diperuntukkan di Bagan
Datoh pada masa akan datang.
"Ini termasuk juga beberapa projek kecil bernilai antara RM200,000 dan
RM1 juta akan dilaksanakan bagi projek tebatan banjir," katanya.
-- BERNAMA