Tunjukkan Penghargaan Atas Perkhidmatan Terbaik Kerajaan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah tiba masanya bagi
masyarakat bandar menghargai usaha-usaha kerajaan dalam memberi
perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri berkata penghargaan pada masa ini terhadap
Sarawak, perlu diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada calon-calon
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu bernilai RM32.2 juta di sini hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Seri
Wong Soon Koh mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada majlis
itu, yang turut dihadiri lebih 5,000 rakyat.
Ahmad Zahid berkata masyarakat di kawasan bandar menikmati banyak
kemudahan yang lebih baik serta peruntukan pembangunan yang besar
daripada kerajaan berbanding penduduk luar bandar.
Ahmad Zahid berkata walaupun kurang sokongan namum kerajaan tetap
berlaku adil serta memberi perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat.
"Oleh itu, saya menyeru, dengan pilihan raya negeri akan datang,
masyarakat bandar mengetepikan sikap negatif terhadap kerajaan,"
katanya.
Mengenai UTC, beliau berkata ia merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan unik kepada negara.
Ahmad Zahid berkata UTC yang merupakan usaha transformasi kerajaan
melalui Kementerian Kewangan, telah menerima pujian termasuk dari Bank
Dunia, dan beliau menyatakan ia perlu dicontohi oleh negara-negara lain.
Pada masa ini, katanya, terdapat 14 UTC di negara ini (termasuk tiga di
negeri ini) yang menyaksikan 11.4 juta rakyat yang mendapatkan
perkhidmatan daripada pelbagai agensi utama kerajaan atau rawatan di
Klinik 1Malaysia.
Beliau berkata ia adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan lebih
banyak UTC di kawasan bandar, dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)
di luar bandar.
-BERNAMA-