Semangat Perpaduan Tidak Boleh Hanya Di Mulut
DUNGUN - Semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO perlu
melekat dalam jiwa dan bukan hanya di mulut, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perpaduan yang menjadi penguat dalam usaha untuk
mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang juga perlu
diperkukuhkan mulai sekarang dengan menyingkir persepsi negatif pihak
lain.
"Perbuatan kita harus disertakan dengan niat ... bagaimana di atas
pentas, begitu jugalah di belakang pentas, begitulah di depan khalayak,
begitulah di belakang khalayak, begitulah kiri, begitulah kanan,"
katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Padu Rakyat Dungun, di
sini hari ini.
Dalam majlis yang dihadiri lebih 5,000 orang itu, beliau turut memuji
kepimpinan diterajui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai perkara utama.
"Jika kita mempunyai daya tahan dan perpaduan yang kuat, biarlah
diserang dengan bom nuklear, senjata tercanggih sekalipun, ia akan dapat
dihalang ... pendapat dan persepsi yang berbeza tetapi insyaAllah atas
perpaduan yang diwujudkan dan kesepaduan yang kita kekalkan, persetankan
persepsi daripada luar. Kita bina semula perpaduan.
"Kita berasa terpukul ... masalah lalu adalah perpaduan dan kita tidak
ambil peduli kerana yakin dan merasakan perpaduan itu boleh dibeli
dengan wang ringgit, boleh dibeli dengan pembangunan tanpa kita
menguasai minda dan menguasai sanubari," katanya.
Ahmad Zahid berkata pemimpin parti perlu mengubah cara pemikiran mereka
dan sudah sampai masanya menggunakan teknik menguasai jiwa dan minda
rakyat untuk tahu dan berterima kasih atas apa yang telah kerajaan
lakukan.
Beliau turut mengingatkan supaya tiada lagi budaya 'cah keting' dalam kalangan mereka yang mementingkan kuasa.
Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid berkata beliau berharap
trend dan acuan yang dibina Ahmad Razif dalam mengukuhkan perpaduan
parti dapat dicontohi dan yakin politik di Terengganu akan lebih kukuh
serta mampu menyelesaikan beberapa permasalahan terdahulu.
Katanya kesepaduan itu bukan hanya penting di Terengganu tetapi juga di
semua 222 kawasan Parlimen khususnya bagi memastikan impak positifnya
dapat dirasai rakyat dan mampu mengetepikan persepsi negatif yang
sengaja diwujudkan oleh pihak pembangkang.
"Mereka (pihak tertentu termasuk pembangkang) memberi pendapat
antagonistik dalam media sosial ataupun beberapa gerakan perang saraf
yang mahu menerjah kekukuhan sedia ada. Pada hemat saya kejayaan itu
sukar untuk dicapai tetapi apabila kejayaan itu telah terbina, maka
lebih sukar lagi untuk mempertahankan kejayaan itu," katanya.
Selain itu Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin parti supaya terus
membantu masyarakat dan mengelak daripada dilabel hanya membantu
keluarga dan sahabat terdekat sahaja.
"Benda tu (pemimpin yang membantu keluarga) berlaku tetapi tidak
keseluruhan Mungkin berlaku di dua tiga tempat dan ini menjadi viral
seolah-olah seluruh wakil rakyat bersikap begitu.
"Ada juga pemimpin yang hanya turun padang apabila ada majlis kenduri
kendara dan kematian atau pada solat Jumaat, ada yang seperti 'kelawar
yang ada pada musim buah sahaja' dan ada yang turun padang lima tahun
sekali ... tetapi ada juga wakil rakyat yang bukan hanya pulang seminggu
sekali tetapi duduk di kawasan bagi memberi perkhidmatan setiap hari,"
katanya.
Berikutan itu, beliau berharap semua pemimpin parti mampu bergerak
seiring untuk menepis persepsi negatif dan kebencian agar ia tidak
menguasai minda dan jiwa rakyat terutama golongan muda.
-BERNAMA-