Pemimpin Umno Dungun Zahir Solidariti Hadapi PRU-14
DUNGUN - Program Himpunan Padu Rakyat Dungun di
sini hari ini menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan
bekas ketuanya Datuk Rosli Mat Hassan menzahirkan solidariti di hadapan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia berlaku secara spontan apabila Ahmad Zahid yang kini menjalankan
tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO menjemput Rosli naik ke pentas bagi
menyatakan sokongan kepada Din dalam usaha merampas kembali tiga
kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Dungun dalam pilihan raya
umum ke-14 (PRU14)akan datang.
Rosli yang memegang jawatan itu hampir 13 tahun terus naik ke atas
pentas dan memeluk Din selain mengangkat tangan bersama-sama sebagai
tanda solidariti.
Suasana menjadi lebih hangat apabila Rosli menjemput Timbalan Ketua
UMNO bahagian Roslee Daud serta Ketua Wanita Zainon Abu Bakar; Ketua
Pemuda Mohd Asri Mohammad, Ketua Puteri Arlina Rosli dan Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk sama-sama
mengikrarkan solidariti mereka.
Pada pilihan raya umum ke-13, UMNO Terengganu tewas di tiga kerusi DUN iaitu Paka, Sura dan Rantau Abang dan Parlimen Dungun.
Sementara itu, Rosli ketika ditemui Bernama berkata beliau akan terus
berusaha memastikan kemenangan parti pada PRU14 walaupun berjuang tanpa
sebarang jawatan.
Din pula berkata beliau berterima kasih atas kerendahan hati Rosli yang
sedia merapatkan barisan dalam menghadapi pilihan raya umum akan
datang.
-BERNAMA-