Kerajaan Belum Putuskan Isytihar Bukit Merah Kawasan Bencana
Kerajaan belum memutuskan mengisytiharkan Bukit
Merah, Perak, yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering akibat
El-Nino, sebagai kawasan bencana kerana perlu meneliti aspek perundangan
dan kewangan berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
kerajaan Persekutuan sudah menerima permohonan daripada kerajaan negeri
Perak berhubung pengisytiharan kawasan Bukit Merah sebagai kawasan
bencana.
Beliau berkata ia boleh memberi implikasi mendalam jika kawasan itu
diumumkan sebagai bencana atau dalam keadaan darurat seperti implikasi
kewangan terutamanya dari segi bayaran pampasan kepada petani.
"Tetapi, kerajaan Persekutuan tetap prihatin dan memikirkan beberapa
langkah yang harus dilakukan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah
berkenaan dan bukannya hanya sekadar pengisytiharan," katanya kepada
media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa tertinggi
Pengurusan Bencana Pusat di sini, hari ini,
Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan langkah dan
kaedah yang dicadangkan bagi mengatasi masalah di Bukit Merah termasuk
pemasangan paip air ke tasik, mendalamkan tasik dan meninggikan kawasan
tambatan di kawasan tasik berkenaan.
Mesyuarat itu juga membincangkan permohonan kerajaan negeri Perak untuk
segera menyelesaikan masalah di Kerian yang menghadapi kesulitan
kekurangan air yang kritikal untuk kegunaan harian dan pertanian,
katanya.
"Ini (cadangan-cadangan untuk atasi masalah) akan dibincangkan secara
halus oleh Jawatankuasa Teknikal selepas ini...kita akan mengambil
tindakan segera," katanya.
Menurutnya Jawatankuasa Teknikal itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa tujuh
daripada 41 empangan di seluruh negara berada pada tahap kritikal dengan
jumlah simpanan air yang membimbangkan.
Empangan berkenaan ialah Gemencheh, Negeri Sembilan; Timah Tasoh,
Perlis; Bukit Merah,Perak dan empat kawasan di Johor iaitu Lebam,
Congok, Layang dan Labong.
"Beberapa langkah segera telah dilakukan termasuk bekalan air ke
kawasan pengairan mesti dibantu segera oleh pam-pam bergerak dari sumber
air seperti sungai, tasik, kolam dan air bawah tanah," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata maklumat mengenai
aras empangan daripada sistem amaran awal Jabatan Meteorologi dan Agensi
Remote Sensing akan dikongsi oleh kesemua jabatan dan agensi yang
terlibat dalam menangani masalah berkenaan.
Selain itu, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk
penghantaran bekalan air menggunakan tangki bergerak sejak tiga hari
lalu termasuk di Chini dan Pekan di Pahang serta Dengkil, Selangor.
Mengenai operasi pembenihan awan, beliau berkata aktiviti itu tetap
diteruskan walaupun berlaku beberapa kegagalan penghasilan hujan akibat
pergerakan awan di kawasan bukan tadahan hujan.
Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penubuhan Sistem Imbangan
Air Negara (NAWABS) sebagai langkah jangka panjang untuk menambah baik
sistem permintaan bekalan air negara.
--BERNAMA