JTKSM Digesa Lebih Proaktif Salur Maklumat Peluang Pekerjaan Sektor 3D
Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa Jabatan Tenaga Kerja
Semenanjung Malaysia (JTKSM) supaya lebih inovatif dan proaktif untuk
menyalurkan maklumat yang lebih menarik berhubung peluang pekerjaan
dalam sektor 3D (bahaya, kotor dan sukar).
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad mencadangkan supaya JTKSM
melakukan pengubahsuaian sistem promosi pekerjaan sektor 3D itu dengan
memberi imej yang lebih baik dan berkualiti untuk menarik ramai rakyat
tempatan mencari pekerjaan itu.
Hasan berkata sekiranya usaha itu digerakkan, ia akan memberi gambaran
bahawa kerajaan sudah melakukan yang terbaik dalam menyediakan peluang
kepada rakyat tempatan berbanding pekerja asing dalam pekerjaan 3D.
"Jika dulu pekerja ladang getah digambarkan hanya orang-orang tua dan
pakaian kotor atau menanam padi dengan memakai kemeja-T sahaja, jadi
anak-anak muda sekarang tiada minat ke arah itu. Imej-imej salah ini
harus diperbetulkan.
"Soal gaji rendah, latihan tidak mencukupi atau mereka (rakyat
tempatan) menolak disebabkan suasana pekerjaan 3D yang tidak kondusif,
itu bukan masalah utama," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah kekurangan
pekerja asing yang semakin meruncing selepas kerajaan membekukan tenaga
kerja asing baharu dalam semua sektor kecuali pembantu rumah pada Mac
lalu.
Pada 12 Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil pekerja asing baharu berkuat
kuasa serta-merta.
Katanya jabatan itu perlu melakukan transformasi dalam mempromosi
sektor pekerjaan 3D itu agar ia menjadi tempat rujukan rakyat tempatan
yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pekerjaan dalam sektor itu.
"Apabila kerajaan sudah lakukan yang terbaik dalam mempromosi peluang
pekerjaan sektor 3D, barulah kita lihat apa kekurangan lain yang
menyebabkan rakyat tempatan masih enggan bekerja dalam sektor itu,"
katanya.
Sementara itu, anggota jawatankuasa kluster pembangunan sosial Majlis
Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din pula berpandangan
masalah itu dapat diatasi sekiranya majikan mengubah pendekatan dengan
merekrut rakyat tempatan berbanding mengambil pekerja asing.
Beliau berkata, usaha itu dapat menguntungkan majikan dalam tempoh
jangka panjang kerana tiada lagi urusan yang melibatkan seperti
pembaharuan permit, denda atau urusan imigresen.
"Pengambilan rakyat tempatan akan mewujudkan sistem kerjaya yang lebih
sistematik yang sebelum ini orang menganggap bidang pertanian,
perladangan dan perkilangan kerja yang tidak bagus.
"Tapi, apabila sistem itu distruktur dengan betul dan dihebahkan
dengan berkesan, lebih ramai rakyat tempatan terutamanya belia yang
gemar aktiviti lasak akan meneroka peluang itu," ujarnya.
-BERNAMA-