Calon Langsung BN Adalah Formula Unik
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan
formula meletakkan calon langsung BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak
ke-11 (PRN-11) adalah unik demi kepentingan rakyat negeri ini.
Beliau berkata formula Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem itu telah
mewujudkan sikap toleransi dan semangat setiakawan dalam kalangan parti
komponen dan ia harus difahami rakyat untuk kepentingan mereka.
Sejumlah 13 calon langsung ini telah menunjukkan semangat sayangkan BN
dan sanggup meletak jawatan dalam parti mesra BN kerana yakin BN boleh
memberi khidmat terbaik kepada pengundi dan rakyat Sarawak, katanya.
"Calon-calon langsung yang mendapat restu ini harus dimenangkan kerana
mereka mendapat sokongan terbaik," katanya ketika berucap pada majlis
pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang George di Nanga Nansang dekat
sini, hari ini.
Hadir sama calon langsung BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, yang merupakan penyandang kerusi itu.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukkan sebanyak RM200,000
bagi pembinaan gelanggang futsal untuk kegunaan golongan muda di
beberapa rumah panjang di kawasan Nanga Nansang.
"Gelanggang futsal ini adalah untuk kegunaan semua anak muda di Rumah
Panjang George, Nyah, Chabu, Empati, Wing dan Rumah Panjang Jampung di
kawasan ini," katanya.
-BERNAM-